Buletin

TEMPAHAN HONDA CIVIC GEN KE-11 KINI DIBUKA. 1.5L VTEC TURBO, HONDA SENSING

Honda Malaysia hari ini mengumumkan bahawa tempahan untuk sedan Civic generasi ke-11 sudah dibuka secara rasmi.

Model yang diinspirasikan daripada Civic generasi ketiga tahun 1983 itu akan dilancarkan pada suku pertama tahun depan.

“Civic mempunyai identity yang kuat dan menjadi antara model pilihan rakyat Malaysia. Sejak diperkenalkan ke pasaran tempatan pada tahun 2001, kami sudah menjual hampir 148,000 unit Civic.

“Civic generasi ke-10 yang dilancarkan pada tahun 2016 menyumbang kepada jualan lebih 66,000 unit. Ia menguasai perkongsian pasaran sedan segmen C sebanyak 71 peratus setakat Oktober 2021,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo.

Turut dikenali sebagai Civic FE, jentera berkenaan dijana oleh enjin 1.5 VTEC turbo yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 182PS dan tork 240Nm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear CVT untuk lebih penjimatan dan pemanduan yang menyeronokkan.

Dari segi dimensi, Civic ialah 4,678mm panjang, 1,415mm tinggi, 1,802mm lebar dengan tapak roda 2,735mm. Seperti yang boleh dilihat, model baharu itu kini lebih besar, lebar dan rendah berbanding model terdahulu.

Civic ialah model pertama yang menggunakan teknik pengilangan termaju Honda dan teknologi Lazer Brazing. Teknologi itu memberikan Civic garis bumbung yang lebih menaik dan badan lebih tegar.

Buat pertama kali, Civic didatangkan dengan varian RS yang sporty. Varian itu dibezakan menerusi cermin sisi, antena shark fin, hendal pintu, spoiler belakang dan rim aloi 18 inci berwarna hitam. Ia juga dilekatkan dengan emblem RS pada bampar hadapan dan belakang.   

Tidak berkompromi dengan aspek keselamatan, Civic RS dilengkapi rangkaian penih Honda SENSING seperti berikut:  

  1. Lead Car Departure Notification System (baharu)
  2. Adaptive Cruise Control (ACC) 
  3. Low-Speed Follow (LSF)
  4. Collision Mitigation Braking System (CMBS)
  5. Forward Collision Warning (FCW)
  6. Lane Keep Assist System (LKAS)
  7. Road Departure Mitigation (RDM)
  8. Lane Departure Warning (LDW)
  9. Auto High Beam (AHB)

Sebagai tambahan, sedan itu juga hadir bersama ciri keselamatan lain seperti Honda LaneWatch, enam beg udara, Vehicle Stability Assist (VSA), Agile Handling Assist (AHA), Emergency Stop Signal (ESS), brek ABS, Electronic Brake Distribution (EBD), Auto Brake Hold (ABH), Hill Start Assist (HSA), Walk Away Auto Lock, Remote Engine Start dan Driver Attention Monitor. 

Maklumat lanjut atau hendak menempah, anda boleh mengunjungi mana-mana 102 pengedar sah Honda di seluruh Malaysia, hubungi talian bebas tol: 1-800-88-2020, layari laman web www.honda.com.my atau muat turun aplikasi HondaTouch.

GALERI

Google ads
Back to top button