Buletin

TEMPAHAN HONDA CR-V GENERASI KEENAM KINI DIBUKA – TAWAR DUA PILIHAN ENJIN 2.0L e:HEV DAN 1.5L VTEC TURBOCHARGED

Honda Malaysia hari ini secara rasmi membuka tempahan untuk kenderaan utiliti sukan (SUV) model CR-V generasi keenam di semua 101 pengedar seluruh negara.

Varian e:HEV RS tampil lebih premium dengan padanan corak mesh pada gril, lampu LED penuh hadapan dan belakang, lampu kabus LED hadapan serta lampu membelok berjujukan LED.

Varian e:HEV RS diserlahkan lagi melalui pemegang pintu bergaya dan rim aloi 18-inci dalam warna Berlina Black.

CR-V generasi keenam ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 2.0L e:HEV dan 1.5L VTEC Turbocharged.

Menurut Honda, CR-V Serba Baharu adalah yang pertama dalam barisan Honda menerima e:HEV Powertrain dengan Hybrid Traction Motor yang dipertingkatkan.

Bagi enjin 2.0L e:HEV, ia berupaya menghasilkan 181hp dan tork 335Nm sementara 1.5L VTEC Turbocharged pula menghamburkan 190hp dan 243Nm tork, yang disalurkan ke roda menerusi CVT.

CR-V e:HEV Serba Baharu dipadankan dengan Transmisi Pembolehubah Berterusan Elektrik (e:CVT) dengan framework baharu bagi memberikan prestasi lebih baik dan lancar.

Sebagai SUV bukan nasional pilihan, ia turut ditawarkan dengan ciri-ciri baharu seperti kamera 360 darjah, fungsi Honda Sensing dengan tambahan Adaptive Driving Beam serta Honda Connect.

Menurut Honda Malaysia, ia bakal dilancarkan secara rasmi pada Disember ini dan pelanggan boleh membuat tempahan dengan bayaran hanya RM1,000 di prebook.honda.com.my, aplikasi HondaTouch atau di mana-mana 101 wakil pengedar sah Honda di seluruh negara.

Google ads
Back to top button