Buletin

TEMPAHAN HYUNDAI SANTA FE FACELIFT DAN TUCSON UNTUK PASARAN MALAYSIA KINI DIBUKA

Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) baru-baru ini mengumumkan bahawa model Hyundai Santa Fe facelift dan Tucson generasi keempat kini dibuka untuk tempahan.

Bagi model Tucson, ia didatangkan dalam tiga varian iaitu iaitu 2.0 Lite, 1.6T Plus dan 1.6T Max.

Dari segi reka bentuk, ia tampil dengan bahasa reka bentuk Sensous Sportiness dan dipadankan bersama lampu nyalaan siang yang dibenam di dalam gril Parametric Jewel.

Menjengah dalam kabin, ia dilengkapi skrin sentuh untuk sistem infotainmen bersaiz lapan-inci dengan ketersambungan Apple Carplay dan Android Auto serta pengecaman suara.

Untuk varian tertinggi, 1.6T Max disertakan bersama pelarasan lapan hala, pemanasan/pengudaraan tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan.

Perincian lain bagi varian 1.6T Max termasuklah panel instrumen digital 10.25-inci, tailgate kuasa, pengelap cermin auto, pengecas wayarles dan Hyundai SmartSense Safety termasuk Smart Curise Control.

Didatangkan sebagai standard, Tucson dibekalkan dengan tujuh beg udara, brek parkir elektrik dengan Auto Hold, Blind Spot Collision Warning serta Safe Exit Warning.

Beralih kepada kuasa, varian 2.0 Lite dijana oleh enjin Smartstream MPI, menghasilkan 153hp dan 192Nm.

Untuk rekod, kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi automatik enam kelajuan.

Bagi varian 1.6T Plus dan 1.6T Max pula, ia dikuasakan enjin turbo Smartstream, menghamburkan kuasa 177hp dan tork 265Nm.

Nadi berkenaan dipadankan dengan transmisi klac berkembar basah (DCT) tujuh kelajuan.

SANTA FE

Beralih kepada Santa Fe facelift, SUV tujuh tempat duduk itu dipasang secara tempatan (CKD) di Kulim, Kedah dan hadir dalam tiga varian iaitu Hybrid Plus, Hybrid Max serta Diesel Max.

Di bahagian dalam, varian Hybrid Max dan Diesel Max menerima kemasan upholsteri kulit, panel instrumen digital 12.3-inci dan tailgate kuasa.

Kelebihan pada Hybrid Max ialah mendapat beberapa ciri tambahan seperti pemanas atau pengudaraan tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan, selain, disertakan ciri memori tempat duduk pemandu.

Ketiga-tiga varian didatangkan standard dengan enam beg udara, sistem keselamatan Hyundai SmartSense termasuk Smart Cruise Control.

Bukan itu sahaja, turut didatangkan sebagai standard ialah skrin sentuh lapan inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecaman suara, pengelap cermin auto serta pengecas tanpa wayar.

Secara mekanikal, varian hibrid dipacu oleh enjin 1.6-liter T-GDI, menghasilkan 177hp dan 265Nm serta digandingkan dengan sebuah motor elektrik 44.2kW, memberikan kuasa keseluruhan sebanyak 226hp dan tork 350Nm.

Nadi berkenaan dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan.

Sementara, varian Diesel pula dikuasakan oleh enjin 2.2-liter CRDi, menjana 199hp dan 440Nm.

GALERI:

TUCSON:

SANTA FE

Google ads
Back to top button