Buletin

DYMAG, HANKUK KARBON DAN HYUNDAI BANGUNKAN RIM KARBON HIBRID UNTUK MODEL N!

Rim yang dibuat dari gentian karbon telah terbukti membantu dalam mengurangkan berat kereta dan motosikal dan biasanya digunakan pada model yang berharga tinggi sahaja.

Ada juga pengeluar yang menawarkan rim karbon sebagai aksesori pilihan. Rim yang ringan dapat membantu dari segi momen inersia, berat tak berpegas (unsprung weight dan kelincahan.

Di antara pengeluar rim karbon yang terkenal ialah Dymag dari United Kingdom dan syarikat pertama di dunia yang mengkomersialkan rim karbon hibrid automotif pada 2004.

Rim yang dikeluarkan Dymag berbeza kerana menggabungkan gentian karbon sebagai bingkai dan bilah dari aluminium tempa atau magnesium dan dari situ dipanggil rim karbon hibrid.

Terbaru Dymag dan rakan strategik Hankuk Karbon dari Korea yang juga pakar bahan komposit bekerjasama dengan Hyundai bagi membangunkan teknologi karbon hibrid baharu untuk model N.

Jika menjadi kenyataan kelak, ini adalah satu aras baharu kerana Hyundai N adalah versi berprestasi kereta jalanan dan melawan arus yang biasanya digunakan kereta eksotik.

Prototaip rim karbon hibrid N Performance telah pun dipamerkan di reruai Hyundai semasa Goodwood Festival of Speed dan ketika Hyundai memperkenalkan kereta elektrik IONIQ 5 N.

Direka khas dan dibangunkan bersama Hyundai, spesifikasi penuh rim itu akan didedahkan beberapa bulan lagi.

Seperti yang dinyatakan, rim Dymag menggunakan bingkai gentian karbon dan 40 hingga 50 peratus lebih ringan berbanding rim acuan aluminium tradisional.

Selain mengurangkan berat tak berpegas, rim karbon hibrid juga mengurangkan inersia pusingan (rolling inertia) dan mempunyai ketegaran dan kekuatan lebih tinggi.

Rim karbon hibrid turut mengurangkan daya giroskopik dan meningkatkan ‘feel’ stereng dan pengendalian.

Satu lagi kelebihan rim karbon hibrid ialah keupayaan untuk melentur dan melantun kembali di bawah beban tinggi yang luar biasa dan impak tajam.

Ini berbeza dengan rim aluminium tunggal (one-piece) yang membengkok atau pecah. Juga menarik, gentian karbon dapat mengurangkan Bunyi Kekasaran Kenderaan (NVH).

Rim Dymag sudah terbukti dan diuji mengikut standard OEM dunia.

Dari segi rekaan dan kos, rim karbon hibrid mempunyai kelebihan kerana bilah rim boleh diubah tanpa perbelanjaan perkakasan yang tinggi berbanding rim gentian karbon tunggal.

Saiz rim baharu boleh dibuat dengan cepat hasil daripada rekaan dan teknik pengeluaran Dymag yang dipatenkan.

Buat masa sekarang Dymaq menawarkan rim karbon hibrid dari saiz 18 hingga 23 inci manakala rim 24 dan 25 inci menyusul beberapa bulan lagi.

Dymag juga dalam perbincangan dengan beberapa pengeluar lain dan perjanjian pembekalan akan diumumkan tidak lama lagi.

BACA: HYUNDAI SANTA FE 2024 TAMPIL BERKOTAK, LEBIH MEWAH, HAMBURAN KUASA 277HP

BACA: HYUNDAI CRETA 1.5 PLUS, PENGGANTI HYUNDAI KONA?

BACA: HYUNDAI ELANTRA N 2023 DIPERKENAL DI CHINA!

BACA: HYUNDAI KONA N LINE 2023, 1.6L TURBO 190 HP, 264NM, 8 KELAJUAN AUTOMATIK!

Google ads
Back to top button