Buletin

TERKANDAS DI KAMPUNG? ISI BORANG DALAM APLIKASI ATAU BALAI POLIS UNTUK PERJALANAN RENTAS NEGERI

Bermula 25 April, mereka yang terkandas di kampung dan mahu melakukan perjalanan merentas negeri boleh mengisi borang dalam aplikasi GerakMalaysia atau ke balai polis berhampiran. 

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, kerajaan mendengar rintihan mereka yang sudah sebulan berada di kampung dan ingin pulang ke rumah masing-masing. 

Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, ramai rakyat Malaysia mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman. Namun, penguatkuasaan PKP yang melarang perjalanan rentas negeri membuatkan mereka terkandas di sana. 

“Kebanyakan mereka sudah berada di kampung lebih sebulan, Banyak aduan kami terima. Ada cakap tiada pakaian sudah mahu dipakai, resah tinggalkan rumah sudah lama atau bimbang rumah dipecah masuk.

“Ada juga dipisahkan dengan anak-anak. Kami memahami keresahan mereka lebih-lebih lagi apabila mendengar kerajaan memberi kelonggaran kepada penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) untuk pulang ke kampung masing-masing,” katanya dalam sidang media harian hari ini.

Ismail Sabri berkata, ada perbezaan kenapa kelonggaran diberikan kepada penuntut berbanding mereka yang terkandas di kampung.

“Mereka (penuntut) kita sudah tahu jumlah sebenar dan status kesihatan mereka kerana hanya berada di kampus.

“Berbeza dengan mereka berada di kampung yang tinggal berselerak, kita tidak tahu jumlah sebenar mereka,” katanya.

Justeru, kerajaan perlu tahu terlebih dulu jumlah mereka kerana bimbang pergerakan besar-besaran akan berlaku nanti.

Disebabkan itu, mereka yang ingin untuk pulang ke rumah masing-masing perlu melapor diri kepada polis menerusi aplikasi dalam talian dinamakan GerakMalaysia yang dibangunkan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) bermula 25 April 2020. 

Mereka yang tiada kemudahan Internet pula boleh mendaftar di balai polis berhampiran dengan syarat membuat temujanji terlebih dahulu dengan balai polis berkenaan.

Ini bagi memastikan proses pendaftaran berjalan dengan lancar dan mengelak orang ramai menyerbu balai polis beramai-ramai.

Keputusan muktamad bagaimanapun hanya akan dikeluarkan selepas 1 Mei selepas mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – Harian Metro

Google ads
Back to top button