Motosikal

DEMI SURVIVAL, AZLAN SHAH DAN RAMDAN ROSLI TERPAKSA KERJA KILANG, BUAT DELIVERY

Hilang pendapatan kerana perlumbaan tidak dapat dilangsungkan berikutan penularan pandemik COVID-19 telah memaksa pelumba-pelumba motosikal negara untuk mencari kerja lain demi kelangsungan hidup.

Begitulah yang berlaku ke atas dua pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman dan Ramdan Rosli. Mereka berdua kini terpaksa melupakan sementara kerjaya di litar dan beralih menjadi pekerja kilang.

Ramdan mengakui ada segelintir mempersoalkan kerjaya yang diceburinya. Namun, dia melihatnya sebagai satu pembakar semangat untuk meneruskan survival.

“Ramai juga yang pelik apabila kami tukar profesion ini, namun ini demi kelangsungan hidup. Saya tidak rasa malu dan saya cari pengalaman baharu sementara menunggu kontrak baharu perlumbaan,” kata Ramdan ketika ditemu bual Astro AWANI pada Sabtu.

Bagi Azlan Shah pula, mereka bukan saja-saja menceburkan diri dalam sektor perkilangan. Malah pelbagai kerja lain turut dibuat bagi memastikan mereka ada pendapatan, selain mengisi masa terluang.

“Saya dan Ramdan bukan sahaja bekerja di kilang, kami juga banyak buat kerja lain. Kami jual insurans dan buat delivery (kerja penghantaran). Kami pelbagaikan kerja secara sambilan ini,” kata Azlan Shah.

Azlan menyatakan bahawa tahun 2021 sangat mencabar kerana masih belum ada sinar harapan bilakah perlumbaan akan dimulakan semula. Apatah lagi kontrak bergantung kepada perlumbaan ini.

“Setengah pelumba dibayar gaji pada setiap perlumbaan, manakala setengah lagi mungkin dibayar melalui kontrak. Malangnya, masih belum ada perlumbaan untuk tahun 2021.

“Pasti sukar untuk kontrak baharu dibuat kerana penaja bimbang untuk teruskan penajaan,” kata Ramdan.

Kedua-dua pelumba ini berharap agar kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan dapat meneliti semula kaedah terbaik bagi memastikan sukan permotoran tidak lumpuh.

Mereka juga berharap agar semua pelumba, atlet mahupun sesiapa jua yang terkesan dengan COVID-19 terus tabah dan berusaha untuk tukar karier demi meneruskan hidup. – Astro Awani

Google ads
Back to top button