" "
Buletin

TERLEBIH BAYAR, FIAT CHRYSLER MINTA SEMULA WANG DARIPADA PEKERJA

Fiat Chrysler Automobiles (FCA) telah meminta 24,000 kakitangannya di Amerika Syarukat untuk membayar semula ratusan dollar yang didakwa terlebih bayar daripada faedah pengangguran tambahan.  

Kontrak di antara Kesatuan Pekerja Auto (UAW) dan FCA tahun lalu menjelaskan bahawa pengeluar kenderaan perlu menyediakan ‘bayaran SUB’ kepada pekerja yang dihentikan sementara.

Bayaran pampasan itu dianggarkan sebanyak 74 peratus daripada gaji 40 jam seminggu mereka.

Namun, dengan kerajaan Amerika Syarikat (AS) membayar AS$600 (RM2,608) kepada mereka yang kehilangan kerja menerusi Akta Bantuan Coronavirus dan Keselamatan Ekonomi, pampasan pekerja itu dilihat sudahpun melepasi 74 peratus yang disyaratkan.  

Dana pengangguran tambahan berkuat-kuasa pada 4 April dan FCA membayar pampasan berkenaan pada minggu kedua selepas kilangnya di Amerika Utara ditutup.

FCA kemudian mengumumkan ia akan menghentikan sejumlah pampasan kerana masalah pembayaran yang bertindan itu.

Purata lebihan bayaran adalah sebanyak AS$500 (RM2,173) dan FCA akan mendapatkan semula wang tersebut melalui pemotongan gaji AS$100 (RM435) seminggu. Ada pekerja yang telah melangsaikan jumlah itu sekali gus.

Pastinya, bukan semua gembira dengan tindakan FCA.     

“Saya rasakan itu adalah wang kami. Bukan mudah untuk semua orang memulangkannya. Tindakan FCA mengambol semula wang itu memang satu tamparan hebat buat kami,” kata seorang pekerja di kilang pemasangan Sterling Heights, La Tonya Washington.

“Memandangkan bantuan Akta CARES telah dibayar oleh kerajaan, sejumlah pekerja FCA menerima lebihan bayaran dan mereka perlu membayarnya semula kepada kami,” kata FCA dalam satu kenyataan rasmi.

Google ads
Back to top button