Artikel Pilihan

MPV SAIZ PENUH, APA PILIHAN YANG KITA ADA?

Sekitar 10 tahun lepas, salah satu segmen yang berkembang dengan cepat ialah kenderaan pelbagai guna ataupun MPV. Katakan satu keluarga ada 5 ahli keluarga dan ibu bapa turut tinggal serumah, maka MPV tujuh tempat duduk merupakan satu pilihan kenderaan yang sesuai terutama bagi yang memiliki anak yang sudah besar.

Jika anak masih lagi kecil, maka MPV dalam segmen B lebih sesuai untuk digunakan seperti Alza, Avanza dan juga SUV Aruz/Rush. Namun apabila anak bertambah besar, mereka akan bersungut tentang ruang kaki di barisan tempat duduk ke tiga. Melainkan mereka boleh duduk bersila selama berbelas jam kalau balik ke kampung.

Isu lain yang berkait rapat dengan ruang ialah undang-undang pemasangan tempat duduk bayi dan kanak-kanak. Kebanyakan kereta hanya mampu memuatkan 2 kerusi bayi dengan selesa, melainkan anda menggunakan kerusi bayi yang lebih kompak maka anda boleh susun 3 kerusi bayi di barisan kedua kereta sedan.

Jadi pada pendapat penulis, walaupun SUV dan crossover menawarkan 7 tempat duduk, dari segi ruang rekaan MPV yang berkotak masih lagi praktikal. Abaikan saja rekaan yang berkotak tersebut, anda perlukan ruang yang luas bukannya nak masuk pertandingan ratu cantik. Kami senaraikan di sini MPV yang dijual di Malaysia.

1. Proton Exora – dilancarkan pada tahun 2009 dan sudah 11 tahun Exora dijual di pasaran. Ia merupakan sebuah MPV segmen C yang paling murah dan berbaloi…… sekiranya anda menolak faktor enjin dan transmisi CVT yang disumpah dengan gembira oleh pemiliknya.

Model 1.6 Premium ditawarkan pada harga RM 66,800 datang dengan kuasa 138 kuasa kuda dan 205Nm tork, cukup-cukup sahaja untuk membawa cesi seberat 1465kg. Kelebihan lain Exora ialah jarak antara roda 2730mm dan corong penyaman udara di atas bumbung serta harganya yang mampu milik

Namun berdasarkan pengalaman penulis, untuk perjalanan jarak jauh dengan bagasi, ia hanya mampu memuatkan 6 penumpang sahaja. Jika ia memuatkan 7 penumpang, maka anda perlu memasang rak kargo di tas bumbung. Tolonglah bawa masuk model gantian Exora secepat mungkin.

2. Nissan Serena Premium Highway Star – ia ibarat memandu sebuah apartment di jalan raya. Ia mampu memuatkan 7 penumpang di dalamnya dengan amat selesa untuk perjalanan jarak jauh dan ruang kargonya boleh tahan besar. Ada 7 poin pengecas USB, cukup untuk semua penumpang mengecas telefon pintar.

Namun kuasa enjin 2000cc dengan hibrid ringan hanya mampu menawarkan 148 kuasa kuda dan 200Nm tork yang dipadankan dengan transmisi CVT. Ditambah pula dengan bumbung yang tinggi dan sistem gantungan yang menjurus kepada keselesaan, maka anda dilarang sama sekali mencuba aksi yang bakal menyebabkan anda terbabas di selekoh.

Namun dengan harga permulaan pada RM 127 ribu bagi varian terendah dan RM 139 ribu bagi varian tertinggi, Serena menawarkan pilihan dengan pelbagai ciri menarik seperti pintu belakang dengan 2 pilihan cara bukaan, lantai yang rendah bagi memudahkan penumpang keluar masuk serta kusyen yang boleh disusun dengan 13 cara.

3. Toyota Innova 2.0G – kami memilih versi G berbanding dengan E yang kosong dan X yang hanya mampu memuatkan hanya 6 penumpang. Versi G ini lengkap dengan semua aksesori, memuatkan 7 penumpang serta berharga RM 123,400 dikuasakan dengan enjin 2000cc dual VVTi. Enjin ini menghasilkan 137 kuasa kuda dan 183Nm tork

Versi 2.4 turbodisel yang lebih power hanya dipasarkan di Indonesia sahaja. Innova adalah sebuah MPV dengan cesinya berkongsi rekaan dengan Hilux dan Fortuner. Roda depan menggunakan suspensi double wishbone dan belakang menggunakan suspensi 4 Link. Berdasarkan pengalaman penulis, ia akan terasa seperti memandu Hilux.

Namun enjin yang dibekalkan sekadar cukup untuk membawa cesi seberat 1720kg walaupun transmisi 6 kelajuan cuba bekerja bersungguh-sungguh menutup kelemahan enjin. Ruang kargo belakang adalah sekitar 300liter, jadi untuk perjalanan jauh anda boleh menyimpan beg kecil di ruangan kaki barisan ketiga.

4. Maxus G10 – merupakan sebuah syarikat yang berasal dari United Kingdom tapi dijual kepada SAIC dengan nama SAIC Maxus Automotive Corporation (China). Tapi janganlah andang rendah pada Maxus kerana komponennya dibekalkan oleh OEM ternama dunia seperti ZF, Delphi, Bosch, Continental dan Valeo

Ia dikuasakan dengan enjin 2000cc suntikan terus turbo yang menghasilkan 225 kuasa kuda dan 345Nm tork dan dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan ZF. Ruang dalaman boleh tahan besar dengan jarak antara roda sepanjang 3210mm. Lampu depan pula menggunakan Xenon HID dengan ciri adaptif

Pada harga sekitar RM 155 ribu ia mampu memuatkan 10 penumpang dalam susunan kerusi 2-3-2-3. Sama seperti MPV lain, jika anda memandu jauh dengan kargo maka ruang penumpang terpaksa dikorbankan atau mungkin anda kena meriba beg sepanjang jalan.

MPV Segmen D merupakan MPV dengan saiz yang lebih besar berbanding dengan Segmen C. Cuma penulis keliru sikit, Maxus G10 ni segmen C ataupun D.

5. Hyundai Grand Starex – salah satu model yang agak lama di pasaran dengan rekaan yang hampir sama kecuali terdapat beberapa siri perubahan kecil yang selari dengan pengenalan model facelift. Enjin 2500cc turbodisel dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan automatik

Dengan harga terbaru RM 163 ribu bagi varian terendah dan RM 173 ribu bagi varian tertinggi, ia menawarkan 9 tempat duduk penuh dan 2 tenpat duduk kecil dan ruang kargo yang besar. Namun penulis merasakan ia lebih kepada people mover yang sesuai digunakan sebagai bas persiaran berbanding MPV

6. Kia Grand Carnival – ditawarkan dengan 2 varian pada harga permulaan RM 160 ribu dan RM 190 ribu yang mampu memuatkan 11 penupang dalam satu masa. Susunan kerusi ialah 2-2-2-3+2 yang mana 2 kerusi yang ditambah di bahagian tengah barisan kedua dan ketiga sesuai untuk penumpang yang kecil dan rendah .

Berbeza dengan Starex, Kia Grand Carnival dikuasakan dengan enjin 2200 turbodisel yang menghasilkan 197 kuasa kuda dan 400Nm tork dipadankan dengan transmisi 8 kelajuan automatik. Malah rekaannya lebih segar jika dibandingkan dengan Starex. Malah jika dibandingkan dengan MPV dengan enjin 2400cc sekalipun, Carnival jauh lebih bertenaga.

7. Honda Odyssey – masih dijual secara rasmi oleh Honda Malaysia dengan 1 varian sahaja iaitu 2.4 EXV yang dikuasakan dengan enjin K24. Enjin 172 kuasa kuda dan 225Nm tork ini disalurkan terus kepada transmisi CVT, dan mengikut pengalaman penulis transmisi CVT Earth Dream yang dihasilkan sendiri oleh Honda ini boleh diharap dari CVT jenama cap penumbuk

Walaupun harganya agak keras iaitu RM 258 ribu, namun ia menawarkan pelbagai ciri keselamatan terkini seperti Honda Sensing bagi menjamin keselamatan 7 penumpang. Susunan kerusi pula ialah 2-2-3 dimana kerusi barisan pertama dan kedua menggunakan rekaan Captain Seat serba mewah. Kalau pakai pemandu pun sedap ni.

Namun jika anda rasa model baru ini agak mahal dan rasa kurang berselera, apa kata cuba intai model recondition yang berada dalam segmen C

8. Toyota Voxy – saiznya hampir sama dengan saiz Serena, memuatkan 7 atau 8 penumpang dengan selesa bergantung pada varian, rekaan berkotak dan ruang kargo yang disediakan adalah besar walaupun ada 8 penumpang dalam satu masa. Susunan kerusi pula adalah dalam susunan 2-3-3.

Voxy juga ditawarkan dalam varian 7 dan juga 8 tempat duduk. Bagi memudahkan penumpang keluar masuk ia dipasang dengan 2 pintu gelungsur di bahagian tepi. Bagi memastikan ia mematuhi peraturan Jepun, ia hanya dikuasakan dengan enjin 2000cc Valvematic 145 kuasa kuda dengan transmisi CVT ataupun 1800cc Hibrid.

9. Honda Stpwgn – salah satu rekaan yang disukai oleh penulis sebab dari jauh anda lihat ia bagaikan Honda Jazz yang disuntik dengan steroid. Model terbaru dijana dengan enjin L15B7 1500cc turbo dengan transmisi yang menghasilkan 150 kuasa kuda dan 200Nm tork. Satu lagi pilihan enjin ialah 2000cc i-VTEC dengan kombinasi hibrid MMD.

Ia mampu memuatkan 7 penumpang dalam satu masa dengan susunan kerusi 2-2-3. Kerusi barisan ketiga boleh ditanam dalam lantai jika tidak digunakan. Namun jika kerusi barisan ketiga digunakan, ia akan mengosongkan ruang lantai bagi membesarkan lagi ruang kargo. Pintu belakang boleh dibuka dengan 2 cara iaitu dibuka sepenuhnya atau dibuka separuh macam pintu rumah.

Kalau Honda bawa masuk secara rasmi ini, laku keras agaknya.

Google ads
Back to top button