Buletin

TERSILAP PESAN 27 TESLA MODEL 3 BERNILAI RM6.7 JUTA, LELAKI KENA BAYAR RM12.4K UNTUK BATALKAN TEMPAHAN

Seorang pengguna Reddit di Jerman dengan nama Ballon-Man tersilap pesan 27 buah Tesla Model 3 daripada laman web rasmi Tesla.

Kesilapan itu membuatkannya dia perlu membayar hampir €1,404,000 (RM6.7 juta)! Segala-segalanya bermula apabila Ballon-Man dan ayahnya mahu mencari sebuah kereta baharu untuk menggantikan Ford Kuga yang sudah semakin uzur.

Pada asalnya, anak-beranak itu tidak terfikir untuk membeli sebuah Tesla atau mana-mana kereta elektrik. Tetapi, memandangkan Jerman baru-baru ini menggandakan insentif pembelian EV, jadi memiliki sebuah Tesla kedengaran lebih logik.

Menurut hantarannya di Reddit, mereka ingin menunggu sehingga 1 Julai untuk mendapatkan pengurangan cukai VAT. Namun, mengambil keputusan untuk membuat tempahan sekarang sebelum Tesla menaikkan harga kereta kerana insentif yang diberikan oleh kerajaan Jerman.

Jadi mereka duduk di hadapan komputer kira-kira jam 9.00 malam dan membuat tempahan sebuah Model 3 asas dengan pilihan ciri Autopilot.   

Selepas melakukan percubaan pertama, mereka menerima mesej bahawa pesanan itu mungkin tidak dapat diproses kerana ada masalah pembayaran. Ballon-Man kemudian pada mencari solusi di internet untuk melihat adakah orang lain mengalami masalah sama. Nampaknya, mereka tidak keseorangan.  

Bersemangat untuk mendapatkan Model 3 secepat mungkin, mereka pun mencuba lagi dan lagi.

Jam 11 malam, mereka akhirnya menerima mesej pengesahan selepas 26 kali mencuba. Keterujaan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila mereka mengakses akaun di laman web Tesla, percubaan menempah yang diingatkan gagal rupanya berjaya dan Tesla mahu mereka membuat bayaran sebanyak €1.4 juta.

Alah, batalkan sahaja 26 tempahan yang tersilap tadi dan tunggu sebuah Model 3 dihantar kepada anda. Senang kan? Tidak semudah itu.

Ini kerana Tesla mengenakan polisi yuran tempahan sebanyak €100 (RM477) yang tidak akan dipulangkan.

Ini bermakna, harga Model 3 yang dibeli kini berharga €54,600 (RM260,500) termasuk tambahan €2,600 (RM12,400) iaitu yuran tempahan yang tidak dipulangkan. Harga asal Model 3 di Jerman ialah €52,000 (RM248,200).

Ballon-Man berharap Tesla akan memahami situasi yang telah mereka lalui dan tidak perlu membayar caj €2,600 itu. Kita masih menunggu update daripada Ballon-Man. Kesian…

Google ads
Back to top button