Buletin

BARU PANDU SEBULAN, STERENG TESLA MODEL 3 TERCABUT

Selepas menunggu selama berbulan-bulan untuk memandu Tesla Model 3, Jason Tuatara akhirnya menerima kereta elektrik itu di rumahnya di Blackpool, England pada 20 Mac lalu. 

Dia pada awalnya menempah warna hitam, tetapi setelah ditangguh beberapa kali tanpa sebab kukuh, Tuatara kemudian menerima sahaja warna putih yang ada.

Namun, malang tidak berakhir di situ sahaja. Ketika memandu dalam jarak dekat pada 26 April, dia sedar satu masalah besar baru berlaku. 

Apabila hendak memarkir kereta itu di rumah, sterengnya tiba-tiba tercabut. Mujurlah tiada apa yang buruk berlaku dan situasi itu dikongsi dengan seluruh dunia menerusi Twitter. 

Dia menujukan tweet tersebut terus kepada Elon Musk dan Tesla Services. “Stereng kereta tercabut hari ini! Bimbang kereta lain pun menerima nasib yang sama. Ia perlu diteliti kerana kereta ini hanya berusia sebulan!”

Akhirnya, Tuatara dapat berkongsi perasaan kecewa itu dengan seorang kakitangan Tesla yang mengaku terkejut dengan apa yang berlaku.

“Wanita itu kata dia tidak pernah dengar perkara seperti ini berlaku. Dalam masa 90 minit, kereta itu diambil dan sebuah Jaguar dipinjamkan kepada saya sebagai ganti. Saya terkejut kerana ia bukan sebuah Tesla, tetapi itu sahaja kereta yang mereka ada.”

Tesla mengambil masa 24 jam untuk membaikinya. Jadi apa masalah sebenarnya?

Tesla mengesahkan bahawa stereng itu tidak dilekatkan dengan skru dan mereka kini sedang menyiasat apa yang berlaku di kilang. Agensi standard Driving and Cecile UK juga menjalankan siasatan penuh. Pengeluar kereta itu bagaimanapun tidak memberi sebarang komen. 

Ini bukanlah pertama kali masalah kualiti kenderaan Tesla diperkatakan. Bulan lalu, seorang pemilik Model Y berkongsi satu klip video menunjukkan beberapa kecacatan kilang yang ada pada keretanya. Ini termasuklah calar pada roda, panel dalaman dan tuil yang patah. 

Tags
Google ads
Back to top button