
TESLA MODEL Y ‘RECOND’ TAWAR DISKAUN SEHINGGA 50% – ELAK MAKIN RUGI
Sejak pengumuman kemasukan Tesla Model Y untuk pasaran tempatan, pelbagai reaksi diberikan oleh orang ramai, sama ada mengenai kebolehpercayaan, selepas jualan serta daya saing dari segi harga.
Selain itu, ada beberapa hantaran di pelbagai platform media sosial mula mengulas tentang Tesla Model Y ‘recond’, di mana penjual kereta ‘recond’ kini menawarkan diskaun sehingga 50 peratus.
Walaupun sesetengahnya kekal teguh dengan harga semasa, sehingga sekitar RM400,000, namun sebilangan daripada mereka memilih menyesuaikan semula nilai untuk kekal berdaya saing dan mengurangkan kerugian.

Mengenai isu berkenaan, seorang pengguna Facebook meninggalkan komen untuk memberi penjelasan situasi dihadapi oleh kedai-kedai recond pada ketika ini.
Menurutnya, potongan harga dilakukan untuk mendapatkan semula modal kerana dikhuatiri gagal bersaing sekiranya masih kekal dengan harga semasa.

“Sesetengah orang berpendapat kami mengurangkan harga dan masih mendapat keuntungan. Sebenarnya kami mengalami kerugian.
“Kedai recond adalah pengimport kecil-kecilan bukan Pengilang Giga (berskala besar) seperti Tesla,” komen pengguna Facebook tersebut.
Untuk rekod, Tesla Model Y didatangkan dalam tiga varian dan tempahan kini boleh dibuat dengan yuran tempahan sebanyak RM1,000.
Model Tesla pasaran tempatan adalah diimport sepenuhnya dan pada masa ini Tesla menikmati insentif EV seperti pengecualian duti import dan eksais serta cukai jalan percuma sehingga akhir 2025.
Para pembeli juga bakal menikmati pelepasan duti import dan eksais bagi kenderaan elektrik sifar emisi, pemansuhan cukai jalan 100 peratus serta pelepasan cukai pendapatan sehingga RM2,500.
Perincian harga Tesla Model Y adalah seperti berikut:
- Tesla Model Y RWD – RM199,000
- Tesla Model Y Long Range AWD – RM246,000
- Tesla Model Y Performance AWD – RM288,000
Sekiranya anda mahukan teknologi pilihan tambahan, ia boleh dimiliki pada harga RM16,000 (Enhanced Auto Pilot) sementara fungsi Full Self-Driving Capability pula bernilai RM32,000.
- BACA: TESLA DEDAH HARGA RASMI MODEL Y PASARAN TEMPATAN – 3 VARIAN, HARGA BERMULA RM199K
- BACA: ANWAR DAN ELON MUSK BINCANG PELABURAN TESLA DAN PERKHIDMATAN SATELIT
- BACA: TESLA DILANCARKAN SECARA RASMI 20 JULAI INI – BAWA MASUK MODEL Y DAN MODEL 3?
- BACA: TESLA AKUI BAMPAR BELAKANG MODEL 3 BOLEH TERCABUT KETIKA HUJAN LEBAT. MASAK KALAU MASUK MALAYSIA








