Buletin

TIADA LAGI ENJIN V8 UNTUK TOYOTA LAND CRUISER

Walaupun generasi sekarang Toyota Land Cruiser sudah wujud sejak tahun 2007, ia masih dilihat sebagai antara jentera off-road terbaik dalam kelasnya. 

Namun, ada satu perkembangan yang menarik mungkin berlaku pada Land generasi baru. Ia dilapor tidak lagi menggunakan enjin V8. Sebaliknya digantikan dengan enjn V6 turbo dan hibrid yang lebih berkuasa serta efisien. 

Toyota bagaimanapun memberitahu masih terlalu awal untuk bercakap tentang spesifikasi Land Cruiser baharu secara terperinci. Biarpun begitu, enjin V8 turbo diesel bersesaran 4.5 liter dan V8 4.8 liter dijangka dikeluarkan berikutan standard emisi global yang semakin ketat. 

“Anda akan melihat banyak jenama beralih daripada enjin V8 petrol atau diesel kepada enjin turbo bersesaran lebih kecil.

“Trend global sekarang mahukan lebih kecekapan dan emisi rendah,” kata Ketua Pembangunan dan Perancangan Produk Toyota Australia, Bernard Nadal. 

Kenapa apa yang dikatakan oleh Toyota Australia boleh menjadi kesan kepada pasaran lain? Sebabnya, standard emisi Australia tidak jauh berbeza dengan standard di Eropah dan Amerika Syarikat. 

Toyota berjanji walaupun enjin V8 akan diganti dengan V6 turbo atau hibrid, keupayaan menunda dan meredah laluan off-road adalah sama sahaja. Apatah lagi minat pengguna terhadap model hibrid Toyota semakin meningkat. 

Sebelum ini, Toyota ada mengumumkan bahawa ia akan menawarkan satu varian hibrid dalam setiap modelnya menjelang tahun 2025. 

Google ads
Back to top button