
ADAKAH INI TOYOTA LAND CRUISER TERBAIK DI DUNIA?
Land Cruiser Series-40 sememangnya sebuah model klasik dan diakui sebagai antara kereta koleksi dari Jepun yang diminati ramai. Bagaimanapun sejak tempoh pengeluarannya berakhir hampi 30 tahun dahulu kebanyakannya sudah semakin dimamah usia dan memerlukan restorasi dan sedikit proses modifikasi.
Sebagai sebuah model yang ikonik, ia merupakan sebuah kenderaan yang sesuai untuk dijadikan projek restorasi bagi menjadikan Land Cruiser klasik ini sebuah kenderaan adventure sejati.
Sebagai contoh di sini kami paparkan sebuah model Signature yang dihasilkan oleh pakar-pakar baik pulih Land Cruiser dari FJ Company. Anda akan dapati dari foto-foto yang disertakan yang ini ialah sebuah model klasik yang diberi nafas baru dan sentuhan moden sesuai untuk kegunaan masa kini.
Ia merupakan kombinasi gaya masa lampau yang menarik, material mewah dan enjin baru keluaran Toyota yang lebih boleh diharap.
Land Cruiser Signature – satu permulaan
Projek ini bermula dengan mencari kereta yang sesuai dan model yang dipilih ialah sebuah Land Cruiser FJ43L-KC dengan warna Freeborn Red. Model yang ditemui di tengah sebuah bandar kecil di Columbia, Amerika Selatan ini merupakan sebuah model dua-pintu yang jarang ditemui lengkap dengan bumbung kanvas. Menariknya ia cuma digunakan oleh seorang pemilik dari baru yang kini berusia 90 tahun dan sudah tidak mampu memandu lagi.
Kereta ini telah dijaga dengan baik oleh pemiliknya tetapi pihak FJ Company tetap melakukan restorasi penuh kepada kereta ini. setiap komponen dan panel badan ditanggalkan satu persatu dan menjalani proses restorasi dengan menggunakan tangan sehinggalah ia kelihatan seperti baru dikeluarkan dari kilang.
Ia kemudian diserahkan kepada pasukan inovasi FJ Company yang akan memikirkan cara untuk menukar kenderaan yang sebelum ini digunakan untuk mengangkut barang kepada kenderaan adventure yang rugged.
Disebabkan Land Cruiser turut dikeluarkan dalam bentuk convertible dari Jepun, bumbung keras asal ditukar dan digantikan dengan bumbung kanvas bagi mengekalkan originaliti. Bagaimanapun ia turut dilengkapi dengan bukaan sisi sebagai ganti tingkap dan sunroof. Ia membolehkan pemandu dan penumpang menikmati tiupan angin segar sepanjang perjalanan.
Rekaan klasik tetapi dengan suntikan elemen moden
Untuk memastikan kereta ini kekal klasik tetapi dengan tambahan elemen moden, bahagian luaran telah disembur dengan warna Dune Beige Toyota yang klasik tetapi kini dengan penyudah matt (pudar).
Selain gril hadapan ikonik yang berwarna putih, logo-logo krom asal dan pelbagai aksesori lain dihasilkan semula mengunakan CNC dan diwarnakan dengan warna Gun Metal Grey. Bahagian cermin sisi walaupun bukan aksesori asal tetapi ia lebih besar untuk pandangan yang lebih luas dan kelihatan kena pada tempatnya bila dipasang pada Land Cruiser Signature ini.
Begitu juga dengan bumper depan yang dipermodenkan dengan menggunakan lampu-lampu kabus LED Baja Designs selain winch Warn 8274 yang cukup popular.
BACA: RESTOMOD TOYOTA FJ40 LAND CRUISER MACAM INILAH YANG KITA NAK!
Namun kehebatan sebenar Land Cruiser ini terletak pada enjin baru yang digunakan. Enjin 4.2-liter 2F asal yang sudah tua kini digantikan dengan enjin 1GR-FE V6 petrol sama seperti yang digunakan oleh Toyota Land Cruiser moden. Ia cukup lancar, senyap dan kelihatan cukup kemas bila dilengkapi dengan penutup enjin yang diperbuat daripada gentian karbon.
Bukan itu sahaja, ia kini mempunyai ECU aftermarket Haltech dan bergandingan dengan sistem ekzos Borla. Hasilnya Land Cruiser ini kini mempunyai 240 kuasa kuda hampir sekali ganda melebihi kuasa enjin asal.
FJ Company turut melengkapkan Land Cruiser ini dengan pegas dedaun Old Man Emu di belakang dan penyerap hentak Fox berprestasi tinggi selain brek-brek cakera baru di kesemua bahagian yang diambil daripada model Toyota 4Runner.
Akhir sekali ciri keselamatan diperkemaskan dengan pemasangan sangkar keselamatan six-point.
Kini kemewahan menjelma
Land Cruiser asal bukannya sebuah kenderaan mewah tetaoi kini ia sudah dijelmakan sebagai kenderaan adventure yang mewah selesa tapi pada masa yang sama kekal ringkas.
Elemen sama masih dikekalkan tetapi kini ia diperkemaskan dengan material yang lebih mewah seperti penggunaan kulit dan kemasan logam yang ditempa semula menggunakan teknik CNC. Mana nak dapat Land Cruiser klasik dengan tempat duduk Recaro tona senada dengan warna luar, penyaman udara moden gaya retro dan sambungan i-Pad pada konsol tengah.
Boleh tak nak beli satu?
Boleh asalkan anda sanggup bersabar dan mempunyai simpanan yang mencukupi. Disebabkan proses restorasi yang cukup teliti, FJ Company mensasarkan hanya 24 unit sahaja akan dapat disiapkan pada tahun 2018 dan kos setiap satunya bermula pada USD200,00. Ia akan mula diproduksikan sebaik sahaja anda membayar deposit sebanyak USD5000. Setuju?
GALERI: