" "
Buletin

TIADA LAGI HIBRID UNTUK WRC BERMULA MUSIM HADAPAN

Kejohanan FIA World Rally Championship (WRC) 2025 nanti akan menyaksikan tiada lagi sistem hibrid yang akan digunakan untuk jentera kategori utama WRC1. Perubahan tersebut dibuat sebagai sebahagian daripada cadangan perubahan peraturan teknikal yang datangnya daripada mesyuarat Majlis Sukan Permotoran Dunia pada Februari yang lalu.

Kumpulan Kerja FIA WRC telah menyampaikan pelan hala tujunya untuk masa depan WRC, yang merangkumi perincian mengenai promosi, objektif sukan dan teknikal. Peraturan baharu akan digubal oleh Suruhanjaya WRC dan dihantar ke mesyuarat Majlis Sukan Permotoran Dunia pada bulan Jun nanti untuk pengesahan.

Diantara perubahan besar yang dicapai terhadap jentera kategori Rally1 termasuklah pengurangan kuasa melalui restrictor turbo yang lebih kecil serta aerodinamik yang lebih terhad dan juga kehadiran jentera baharu Rally2+. Jentera semasa kategori Rally2 boleh dipasang dengan kit WRC yang terdiri daripada restrictor semasa yang lebih besar, pilihan paddle shift, lebih aerodinamik dan juga sistem ekzos yang lebih besar.

Perubahan ini, yang akan dilaksanakan tepat pada masanya pada tahun 2025 dengan tujuan untuk mengecilkan jurang antara dua jentera rali kategori teratas, akan menjadikan kereta Rally1 berkuasa hibrid semasa tidak lagi digunakan pada penghujung tahun ketiga mereka di puncak kejohanan WRC.

Sebagai tambahan kepada perubahan regulasi tahun 2025 nanti, kumpulan kerja tersebut juga telah mencadangkan perubahan baharu juga bermula tahun 2026. Berdasarkan konsep Rally1, jentera baharu itu akan menggunakan sel keselamatan biasa, membolehkan pengeluar atau penala membangunkan jentera rali menggunakan hasil kerja badan mereka sendiri daripada kelas B, C, SUV Kompak atau Kereta Konsep agar prestasi dan juga aerodinamik jentera setara dengan model sedia ada.

Kuasa untuk jentera rali bermula tahun 2026 akan dihadkan pada 330 kuasa sahaja dan kos pembinaan jentera rali ini akan dihadkan sehingga €400,000 (RM2,050,811) dengan teknologi enjin dan transmisi boleh disalin terus daripada model jentera Rally2 sedia ada bagi menyumbang ke arah pengurangan kos. Untuk rekod, kos pembinaan jentera Rally1 adalah pada aras €1 juta.

Dengan langkah pengurangan kos ini, pastinya akan menarik minat pengeluar lain untuk kembali semula ke pentas WRC. Mungkinkah kemunculan semula Subaru atau pun Citroen untuk bersaing semula merebut kejuaraan sekali gus memberi peluang lebih ramai pemandu untuk beraksi dalam kelas utama?

BACA : SEBASTIAN OGIER MEMANDU UJI GR YARIS RALLY1 BUAT PERTAMA KALI

BACA : INILAH DIA HYUNDAI i20 N RALLY1 YANG SEBENAR BENARNYA – PENCABAR WRC 2022 SUDAH TIBA

Google ads

B K

Back to top button