Buletin

TASKL 2024: SUBARU BRZ DAN WRX TAMPIL DENGAN LIVERI MALAYSIANA

TC Subaru Sdn. Bhd., pengedar eksklusif kenderaan Subaru di Malaysia, akan turut serta dalam Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur 2024 yang berlangsung di Malaysian International Trade and Exhibition Centre (MITEC) dari 8 hingga 10 November 2024.

Subaru baru-baru ini membuat pratonton khas kepada para pengedar, rakan kongsi, media, dan rakan-rakan tentang edisi khas livery “Kuala Lumpur Edition” yang dihasilkan oleh Motorsport Playground bersama barisan pakaian edisi terhad oleh Pestle & Mortar Clothing (PMC).

Kolaborasi ini menggabungkan elemen kejuruteraan Jepun dan warisan budaya Malaysia, dengan menampilkan reka bentuk Songket yang diilhamkan oleh bentuk geometri dan simbolik kaya, serta Bunga Raya, bunga kebangsaan Malaysia.

Ciri ini memberikan sentuhan tempatan yang menonjol pada Subaru BRZ dan Subaru WRX, mencerminkan semangat kebanggaan Malaysia serta keunikan budaya kita.

Di samping livery kereta, Subaru juga melancarkan koleksi pakaian bersama PMC, yang menampilkan gabungan ketelitian dan ketukangan kedua-dua budaya.

Setiap rekaan dalam koleksi ini menonjolkan elemen warisan dan gaya kontemporari, menjadikannya pilihan menarik bukan hanya untuk peminat sukan permotoran tetapi juga mereka yang menghargai fesyen unik.

Selain itu, Subaru turut mengambil bahagian dalam cabaran masa di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang, di mana Subaru BRZ dan Subaru WRX diuji kemampuannya oleh pelumba profesional Freddie Ang.

Di bawah penyediaan asas oleh TD Racing, BRZ transmisi manual mencatat masa 02:42:211, manakala WRX dengan CVT mencatat masa 02:43:472 bagi pusingan penuh litar.

Tokyo Auto Salon Edisi Kuala Lumpur dari Subaru ini akan tersedia untuk jualan sepanjang acara berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur, dari 8 hingga 10 November 2024.

GALERI:

Google ads
Back to top button