TRAK PIKAP EV RIDDARA RD6 DILANCARKAN DI THAILAND: EMPAT VARIAN, HARGA BERMULA RM116K
Riddara Automobile (Thailand), subsidiari kepada pengeluar automotif China, Geely, baru-baru ini melancarkan trak pikap elektrik pertama di Thailand, Riddara RD6.
Dengan empat varian berbeza, RD6 menawarkan prestasi serba boleh untuk pelbagai jenis permukaan jalan, serta pengalaman pemanduan lancar yang menyerupai SUV.
Trak pikap EV ini juga menawarkan kos penyelenggaraan dan tenaga lebih rendah berbanding trak pikap enjin pembakaran biasa, menjadikannya pilihan menarik dalam segmen tersebut.
Riddara RD6 diiktiraf sebagai “Trak Pikap EV Pertama di Thailand” dengan inovasi M.A.P (Multiplex Attached Platform), iaitu platform teknologi yang menggabungkan kelebihan trak pikap dan kenderaan elektrik.
Dengan reka bentuk gagah, trak ini memenuhi standard keselamatan yang tinggi selain, bahagian dalamannya pula luas dan selesa, sesuai untuk perjalanan keluarga serta aktiviti luar.
RD6 dilengkapi dengan sistem keselamatan komprehensif serta teknologi bantuan pemandu, menjadikannya sesuai untuk kegunaan harian atau ekspedisi.
Dari segi prestasi, Riddara RD6 mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.5 saat, dengan tork setinggi 595Nm.
Di bahagian belakang, ia turut dilengkapi soket kuasa 6kW piawai Eropah, membolehkan pengguna menyesuaikan pikap ini untuk pelbagai keperluan gaya hidup.
Sistem kuasa ini mampu berfungsi ketika trak berada dalam mod parkir, terkunci, mengecas, atau ketika sedang dipandu.
Pengguna juga boleh mengawal beberapa fungsi kenderaan melalui aplikasi telefon pintar, memberikan kawalan lebih mudah dari jarak jauh.
Kabin Riddara RD6 menawarkan keselesaan bertaraf SUV dengan teknologi Pure Electric NVH Silent dan dilengkapi skrin sentuh 14.6-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Carbit Link, selain pengecas tanpa wayar 50W.
Selain itu, sistem kawalan suhu dua zon dan penapis udara CN95 PM 2.5 juga menambah keselesaan bagi penumpang belakang.
Tempat duduk kulit berkualiti tinggi dengan reka bentuk unik boleh dilaras secara elektrik dalam enam arah, serta dilengkapi sistem pengudaraan. Tempat duduk hadapan pula boleh direbahkan 180 darjah, memaksimumkan fleksibiliti untuk semua ahli keluarga.
Riddara RD6 dilengkapi sistem pacuan 4WD automatik dengan tujuh mod pemanduan – Sand, Mud, Off-road, Wading, Economy, Comfort, dan Sport – yang memastikan ia mampu mengatasi pelbagai jenis permukaan jalan dengan mudah.
Dengan kedalaman rendaman sehingga 815mm, ia menjadikannya pilihan ideal untuk pengembaraan lasak. Trak ini juga mampu menampung kapasiti kargo sehingga 1,200 liter di bahagian belakang dan tambahan 70 liter di bawah hud, serta ruang storan di bawah tempat duduk penumpang belakang.
Untuk rekod, ia juga mempunyai kapasiti menunda sehingga 3,000kg.
Riddara RD6 hadir dengan 14 ciri bantuan pemanduan (ADAS) termasuk, kamera pandang sekeliling 540 darjah, 6 beg udara dan lebih 70 peratus badan kenderaan dibina daripada keluli berkekuatan tinggi.
Riddara RD6 ditawarkan dalam varian pacuan 2WD dan 4WD pada harga berikut:
- Riddara RD6 2WD 63kWh: 899,000 baht (RM116,359)
- Riddara RD6 2WD 73kWh: 999,000 baht (RM129,302)
- Riddara RD6 4WD 73kWh: 1,149,000 baht (RM148,705)
- Riddara RD6 4WD 86kWh: 1,299,000 baht (RM168,119)
Tempahan sebelum 31 Disember 2024 akan menerima pelbagai tawaran istimewa termasuk kadar faedah 0.99 peratus selama 48 bulan, pengecas rumah percuma dengan pemasangan, insurans komprehensif percuma selama setahun, jaminan kualiti kenderaan 6 tahun atau 150,000km, jaminan motor dan bateri 8 tahun atau 200,000km, penyelenggaraan percuma selama 6 kali dalam tempoh 6 tahun, serta bantuan tepi jalan 24/7 selama 6 tahun.