Artikel Pilihan

TIPS PENJAGAAN KERETA HIBRID. BARULAH TAHAN LAMA

Jika anda perhatikan, semakin banyak syarikat automotif Malaysia mengambil langkah dengan memperkenalkan teknologi hibrid pada kenderaan mereka selain daripada teknologi kereta elektrik. Teknologi hibrid ini sebenarnya merupakan jambatan antara enjin pembakaran dalam dan juga kereta elektrik.

Bagi memanjangkan jangka hayat sistem hibrid, kami senaraikan di sini beberapa tips tambahan agar sistem bateri kekal lama. Kurang sikit ssakit kepala tuan-tuan.

1. Penyejukan – jika anda biasa memandu kereta anda akan mendapati terdapat kipas yang dipasang pada bahagian penyandar tempat duduk belakang atau di bahagian bawah. Tujuan kipas ini bukanlah untuk menyejukkan belakang atau bontot anda, tapi untuk menyedut udara sejuk dari kabin ke ruang simpanan bateri.

Bateri sistem hibrid biasa disimpan dalam kargo atau dibawah tempat duduk belakang dan dalam operasi ia memerlukan proses penyingkiran haba yang optimum bagi memudahkan proses pengecasan berlaku. Kipas ini akan menyedut udara kabin yang sejuk (biasa disebabkan penyaman udara) bagi menyejukkan bateri.

Jika anda menghalang laluan udara sejuk ini masuk, bateri akan mudah menjadi panas sekaligus memendekkan jangka hayat bateri sistem hibrid. Pastikan tiada apa-apa objek yang menghalang udara sejuk masuk.

2. Jangan memandu terlalu laju – atau dalam bahasa lain jangan memandu terlampau ekstrim. Keadaan ini akan memaksa enjin bekerja keras bagi menghasilkan kuasa tambahan dan kebanyakan enjin kereta hibrid akan berfungsi dalam kitaran enjin Atkinson untuk menghasilkan kuasa. Walaupun enjin Atkinson ini menjimatkan bahan api, ia kurang berkuasa berbanding dengan enjin Otto

Apabila digandingkan dengan motor elektrik, kekurangan kuasa tadi akan dibantu oleh sistem hibrid dengan kuasa elektrik. Walaupun sistem hibrid berupaya memeberi bantuan tork pada enjin melalui motor, jika anda memandu laju secara berterusan kuasa elektrik dalam bateri sistem hibrid akan cepat habis. Manakala enjin yang sedang sibuk memacu kereta ke depan tidak sempat mengecas bateri.

Bagi mengelakkan bateri mengalami kekurangan kuasa elektrik sehingga menjejaskan jangka hayat, sistem akan memaksa enjin beroperasi dalam keadaan kuasa rendah. Paling bagus kereta hibrid dipandu dalam keadaan normal, bukannya dipandu seperti sebuah kereta sport.

3. Letak dalam gear P – jika anda perlu menunggu bini anda ke kedai terlalu lama, pastikan anda meletakkan tombol gear pada kedudukan P (Parking) bukannya N (Neutral). Disebabkan rekaan sistem hibrid, enjin boleh mengecas bateri hibrid dalam keadaan P, bukannya pada N.

4. Banjir – semua kereta tak sesuai untuk mengharungi banjir, waima kenderaan 4×4 sekalipun disebabkan ada ketinggian maksimum yang boleh diredah oleh kenderaan 4×4. Melainkan anda memandu kereta kebal amfibia. Tambahan pula kereta hibrid ada banyak komponen elektrik dan elektronik untuk menyokong sistem bateri.

Toyota pula menegaskan bahawa selagi air banjir tidak memasuki kabin, ia tidak akan menjejaskan bateri hibrid. Paling bagus anda langsung tidak meredah banjir ataupun hanya melalui kawasan banjir dengan ketinggian minima sahaja jika terpaksa.

Sekiranya kereta hibrid ditenggelami air, sistem hibrid akan memutuskan semua litar sambungan pada semua komponen berkaitan bagi mengelakkan berlakunya litar pintas. Kereta perlu dibawa ke pusat servis bertauliah untuk direset semula

Google ads
Back to top button