,
Buletin

TMS 2019: TOYOTA DEDAHKAN “MIRAI CONCEPT” GENERASI AKAN DATANG

Toyota dedahkan model generasi akan datang Mirae, sebuah kenderaan elektrik dengan sel bahan api (FCEV). Dikatakan sebagai model yang berada pada peringkat terakhir pembangunan, Mirai ini juga merupakan generasi kedua  dan diberi rekaan yang lebih segar dan teknologi FCEV terkini. Ia kini dikatakan mempunyai jarak operasi yang lebih jauh, menawarkan prestasi pemanduan yang lebih baik, elegan dan sporty selain lebih selesa dan mesra pengguna.

Menurut ketua jurutera Mirae, Yoshikazu Tanaka, mereka telah berusaha untuk menghasilkan sebuah kenderaan yang sentiasa ingin dipandu pemiliknya pada setiap masa. Ia mestilah mempunyai rekaan yang menarik, dinamik dan mampu membuatkan pemandu sentiasa tersenyum. Jadi mereka meneruskan rekaan berdasarkan idea tersebut dan berharap Mirae akan menjadi peneraju dalam kenderaan berasaskan hidrogen.

Dilancarkan buat pertama kali pada tahun 2014, Toyota Mirae generasi pertama berjaya membuktikan kepada dunia kepentingan dan potensi hidrogen sebagai bahan api kenderaan. Ia mempunyai jarak operasi dan masa isian bahan bakar yang hampir sama dengan kenderaan konvensional tetapi adalah lebih bersih. Sejak itu hampir 10,000 unit Mirae berjaya dijual dan membuka laluan kepada gaya hidup yang lebih sihat.

Dijadualkan pelancarannya sekitar penghujung 2020 di Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah, Mirae generasi baru ini bukan hanya sebuah kereta eco tetapi ia bakal menjadi penanda aras baru teknologi FCEV. Penambahbaikan dalam sistem sel bahan api dan penambahan ruang simpanan hidrogen bermakna Mirae baru ini akan mempunyai jarak perjalanan yang 30 peratus lebih baik.

Bukan itu sahaja, kereta ini juga dibangunkan berdasarkan platform pacuan belakang TNGA Toyota yang premium sekaligus memastikan dinamik pemanduan selain rekaan yang sangat elegan dan moden pada bahagian luaran.

Lebih istimewa lagi bila diberikan warna luaran baru yang dinamakan Force Blue Multiple Layer. Apa benda tu? Ia bermaksud mereka mengecat kereta ini lapisan demi lapisan bagi memastikan warna yang dihasilkan menepati piawai yang ditetapkan mereka.

Penampilan luaran diserikan lagi penggunaan rim-rim bersaiz 20 inci yang memang sesuatu yang sebelum ini sangat asing pada sebuah kereta eco ataupun kereta-kereta hijau seumpama ini.

Siapa kata kenderaan cekap tenaga tak boleh melaram kan?

Tags
Google ads
Back to top button