Buletin

TOYOTA BANGUNKAN SISTEM SEL BAHAN API BAHARU, KOS LEBIH RENDAH!

Kecekalan dan kesungguhan Toyota dalam membangunkan teknologi sel bahan api sememangnya menggagumkan.

Kini ada dua model kenderaan sel bahan api hidrogen (FCEV) di pasaran iaitu Mirai dan Crown Sedan PHEV.

Terbaru Toyota mengumumkan pembangunan Sistem Sel Bahan Api Generasi Ketiga (3rd Gen FC System) yang merupakan sebahagian daripada usaha berterusan ke arah masyarakat hidrogen.

Sistem ini akan dipamerkan buat kali pertama di H2 & FC EXPO (Pameran Hidrogen dan Sel Bahan Api) di Tokyo, Jepun pada 19 Februari.

Apa yang menarik, sistem ini direka khusus untuk memenuhi keperluan sektor komersial dan menawarkan ketahanan setanding enjin diesel konvensional.

Sistem ini menawarkan peningkatan prestasi termasuk kecekapan bahan api yang lebih tinggi dan pengurangan kos yang ketara berbanding versi terdahulu.

Selain kenderaan penumpang, Toyota akan memperluaskan penggunaannya pada kenderaan komersial berat.

Toyota menyasarkan untuk memperkenalkan sistem ini di pasaran utama seperti Jepun, Eropah, Amerika Utara, dan China tidak lebih awal daripada 2026.

Toyota menganggap hidrogen sebagai bahan api penting dalam mencapai karbon neutral dan giat bekerjasama dengan rakan industri dalam pelbagai sektor.

Sistem FC Generasi Ketiga mewakili langkah penting dalam penerimaan dan penggunaan ke arah masyarakat hidrogen.

Pada 2014 Toyota melancarkan Mirai dan telah terjual sekitar 28,000 unit di lebih 30 negara dan pasaran.

Sejak 2019, Toyota mula membekalkan sistem sel bahan api (FC) untuk aplikasi lain seperti bas, kereta api dan penjana kuasa dan lebih 2,700 unit kepada lebih 100 pelanggan di seluruh dunia.

Di Jepun, Toyota bekerjasama dengan banyak rakan industri terutama sekali di Tokyo dan Fukushima.

Sistem FC Generasi Ketiga dibangunkan berdasarkan maklum balas pelanggan serta ujian konsep dan demonstrasi selama beberapa tahun.

Ciri Utama Sistem Sel Bahan Api Generasi Ketiga

  • Ketahanan: Dua kali lebih baik berbanding model sebelumnya dan setanding enjin diesel
  • Kecekapan Bahan Api: 1.2x lebih baik, jarak pemanduan lebih panjang (~20% peningkatan)
  • Pengurangan Kos: Inovasi dalam reka bentuk sel dan proses pembuatan

Peluasan Penggunaan

  • Reka bentuk sistem yang kompak membolehkan pemasangan atau penyepaduan lebih mudah ke dalam pelbagai kenderaan komersial.
  • Sistem FC Generasi Ketiga boleh dipasang pada pelbagai kenderaan komersial, kereta penumpang, dan penggunaan umum seperti penjana tenaga, kereta api, dan kapal
  • Untuk kenderaan penumpang, kecekapan bahan api yang dipertingkatkan memberikan jarak pemanduan lebih jauh untuk ketenangan minda.
  • Untuk kenderaan komersial berat, sistem FC baharu menawarkan ketahanan setanding enjin diesel serta kuasa tinggi

Sebagai rujukan, berikut ciri-ciri Toyota Mirai 2025 yang diperkenal pada Januari:

  • Sistem Kuasa: Sel bahan api hidrogen dengan tiga tangki tekanan tinggi
  • Jarak Pemanduan: Sehingga 850 km (kitaran WLTC)
  • Masa Pengisian: ~3 minit untuk pengisian penuh hidrogen
  • Penggerak: Motor elektrik pacuan roda belakang (RWD)
  • Kuasa: 182 hp (134 kW), 300 Nm
  • Bateri: Litium-ion
Google ads
Back to top button