" "
Artikel Pilihan

TOKYO AUTO SALON 2024 – ACARA PERMOTORAN TER’BEST’ DI DUNIA

Tokyo Auto Salon ataupun lebih dikenali sebagai TAS merupakan acara permotoran yang dinantikan oleh peminat kereta khusus yang meminati dunia modifikasi yang diadakan setahun sekali pada bulan Januari setiap tahun. Acara ini dimulakan oleh Daijiro Inada dari majalah permotoran terkenal Jepun, Option, sejak tahun 1983. Ya dah lama tuan-tuan dan saban tahun ia menjadi semakin hebat.

Setiap tahun bila kami melangkah kaki ke TAS memang mengimbau kenangan lama sewaktu zaman majalah Kereta dahulu. Masa tu kami masih muda remaja, anak pun tak ada lagi. Sekarang dah masuk kategori M4. Ada dah masuk M5. Tak main la 5-Series (nampak biasa sangat).

Kehebatan dan kehangatan acara inilah yang sentiasa memanggil kami setiap tahun untuk menghadiri acara yang diadakan di dewan-dewan Makuhari Messe ini. Penerbangan beribu kilometer dari Kuala Lumpur kami tempuhi dengan penuh rasa teruja untuk membawakan gambar-gambar video secara eksklusif untuk tatapan semua bangsa Mekanika. Haa… tepuk tangan sikit.

Penat ooo jalan kaki sana sini. Nampak memang seronok tapi ini bukan macam bulan madu woo. Krem kaki nak cover kawasan pameran yang terbentang luas. Betul ke ayat ni? Hentam sajalah labu.

Jika anda ingin melihat sendiri kenderaan yang ditala, dilebarkan, direndahkan, ditinggikan dalam pelbagai bentuk dan rupa, inilah tempat yang paling sesuai. Walaupun sudah lama diadakan, TAS tidak pernah gagal mengekalkan elemen unik dengan kenderaan-kenderaan yang mendapat sentuhan kreatif warga Jepun dan juga peserta antarabangsa.

Ia diadakan selama 3 hari dari 12 hingga 14 Januari 2024. Kami datang awal kerana hari pertama memang dikhususkan untuk media dan pemain industri. Sama seperti mana-mana pameran motor sebenarnya. Kalau pengunjung dibenarkan masuk sekali dengan wakil media jawabnya memang rosak habis la gambar dan video yang nak diambil. Kejap-kejap ada orang melintas, kejap-kejap ada budak kecik main teng-teng.

Tapi sebenarnya budaya kat Jepun tak macam tu. Diorang didik anak-anak dari kecil supaya menghormati kenderaan yang dipamerkan. Banyak lagi yang kita kena belajar sebenarnya bab adab ni.

Kalau sebelum ini TAS lebih kepada menonjolkan kereta-kereta yang diubahsuai kini tidak lagi. Ia sudah berkembang dengan unsur-unsur pameran permotoran antarabangsa kerana ada sahaja pelancaran dan pameran kenderaan model baharu dari syarikat-syarikat terkenal.

Kami pertama kami habiskan untuk meninjau ruang-ruang pameran untuk mencari model-model yang menarik perhatian. Selain kenderaan-kenderaan modifikasi terdapat juga tapak jualan khusus untuk aksesori kenderaan, pameran jentera perlumbaan, pencaran model baharu, demonstrasi drift dan macam-macam lagi.

Penat memang tak payah nak cerita sebab TAS kali menampilkan hampir 1,000 buah kereta yang dipamerkan selain 4,000 tapak pameran yang rata-ratanya memang menjadi tumpuan peminat kereta. Ia mampu menarik hampir 300,000 pengunjung termasuk warga media seperti dan juga selebriti dari seluruh dunia, pun macam kami jugak la kan?

Selain menyaksikan pameran dan melihat model-model baharu dan modifikasi terkini, Abang Japar pun sempat menemubual pelumba drift ternama dunia, Mad Mike. Dia ni satu sekolah dengan abang dulu tahu. Sama terer je kita orang berdua ni sebenarnya.

Besar ke tempat acara ni bang? Besar tu tak besar la dik tapi empat dewan pameran tu kalau dikira memang mampu memuatkan dua buah pesawat jumbo setiap satunya. Itu tak termasuk arena tertutup dan kawasan luar yang menjadi gelanggang acara drift.

Walaupun dikenali sebagai acara pameran khusus untuk modifikasi, sebenarnya tidak semua model yang dipamerkan kelihatan seperti model-model kereta yang diambil dari Filem Fast & Furious. Ada je syarikat-syarikat terkenal yang mengunakan acara ini untuk memperkenalkan produk terbaru mereka.

Ada kereta konsep dah ada juga yang menunjukkan projek-projek terbaharu mereka. Korang boleh saksikan sendiri gambar-gambar dan video-video menarik di FB, IG dan TikTok Youtube Mekanika. Pelan-pelan lami upload sebab banyak sangat ni. Tekak pun terasa wasabi lagi.

Kalau ada masa dan peluang datanglah ke Tokyo Auto Salon sekali seumur hidup pun jadilah. Selain dari tengok kereta best-best ia juga merupakan senaman yang baik untuk menurunkan berat badan sebab banyak kena berjalan. Tak percaya tanya Bamman Mekanika berapa kilo berat badan beliau hilang.

Google ads
Back to top button