TOYOTA COROLLA GR SEDAN, DISKAUN 50% DARI GR COROLLA
Secara jujurnya, tanyalah kepada mana-man peminat jentera 4 roda dengan transmisi manual maka Toyota GR Corolla adalah salah satu idaman mereka. Dengan rekaan htachback 4 pintu, ruang bagasi, transmisi 6 kelajuan manual, enjin 1600cc turbo dan juga sistem pacuan semua roda maka ramai peminat yang meleleh air liur melihat spesifikasinya
Namun untuk berpijak di dunia nyata selepas mengelap air liur maka anda akan sedar harga RM 355,000 ini bukanlah untuk semua orang. Selain daripada banyak pilihan di luar sana dengan harga yang lebih mampu milik, GR Corolla adalah untuk pemandu hardcore. Tak semua mahu mengadap jalan jem setiap hari dengan transmisi manual
Menyedari barisan model Toyota tidak menawarkan model pertengahan, maka lahirlah Toyota Corolla GR. Anda akan persan yang perbezaan utama ialah kedudukan logo GR, ia berada di belakang nama Corolla dan bukannya di depan perkataan Corolla
Tapi untuk berlaku adil ia adalah pilihan yang bagus daripada Toyota dengan harga sekitar RM 153,000 sahaja dan menawarkan ruang kargo sebesar 471 liter membuatkan isteri anda pasti meluluskan permintaan bajet. Dari segi luar, Corolla GR tampil dengan rekaan yang sedikit agresif.
Tidaklah terlalu ah beng, tapi masih sedap dipandang dengan rekaan yang kemas. Perubahan besar yang boleh dilihat ialah pada rekaan jeriji depan rekaan unsur sarang lebah yang lebih besar dan berkilat. Nampak lebih agresif jika dipandang dari depan.
Rekaan ini ditemani dengan rim 18 inci yang berkilat, cermin sisi warna hitam dan juga penambahan ciri rear diffuser pada bampar bawah bahagian belakang. Hanya satu logo kecil GR sahaja yang ditampal pada bahagian belakang.
Namun bagiu varian ini, ia ditemani dengan ciri-ciri prestasi yang tidak boleh dilihat sekali imbas. Pertama suspensi depan topang McPherson dan suspensi belakang Double Wishbone telah ditala dengan penyerap hentak talaan GR. Suspensi ini adalah lengkap dengan bar penstabil bagi prestasi di selekoh yang lebih menyerlah
Kemasan dalaman pula menerima jahitan berwarna merah untuk kusyen dan lekapan pintu yang berwarna merah selain logo GR dicop pada kusyen. Paparan skrin multimedia diperbesarkan menjadi 12.3 inci lengkap dengan sambungan Apple Car Play dan Android Auto tanpa wayar.
Melengkapi pakej pembaharuan Corolla GR ialah unit pengecas tanpa wayar berserta dengan klip untuk penumpang depan dan juga sambungan pengecas konvensional dan Type C yang dipasang dalam perehat tangan
Sama seperti varian 1.8E dan 1.8G, anda akan melihat enjin 1800cc DOHC dual-VVTi yang sama digunakan. Di atas kertas, enjin ini hanya menjana 137 kuasa kuda dan 172Nm tork sahaja dengan semua kuasa dihantar ke roda depan menerusi transmisi CVT
Ramai yang memandang sinis prestasi Corolla GR ini, namun anda perlu memandu dan merasai sendiri varian GR ini. Selain diberikan ciri paddleshifter yang membenarkan anda mengawal transmisi 7 kelajuan maya, Corolla GR juga diberikan satu mode Sport bagi menjadikan pemanduan anda lebih agresif.
Tapi secara jujurnya, dalam mode pemanduan Normal pun penulis rasakan yang respon throttle terhadap input pedal minyak adalah cukup tajam. Mungkin varian GR menggunakan talaan yang berbeza daripada varian 1.8E dan juga 1.8G
Menemani prestasi enjin ialah respon stering yang dirasakan lebih agresif berbanding dengan 1.8G yang pernah dipandu oleh penulis. Anda boleh terus memberikan input pada pedal minyak tanpa perlu risau tayar depan hilang cengkaman dan menjadi understeer.
Tayar belakang pula akan mengikut kemana sahaja arahan stering tanpa sebarang drama. Sekiranya anda selalu memandu di jalan kampung yang banyak selekoh, anda hanya perlu menurunkan satu atau 2 gear sahaja tanpa perlu membrek untuk menikmati cesi TNGA ini beraksi di selekoh
Kusyen yang disediakan juga adalah seimbang dari segi penawaran ergonomik serta kelihatan sporti selari dengan rekaan luar Corolla GR. Sokongan lumbar yang disediakan adalah sesuai untuk pemandu bagi mengharungi perjalanan jarak jauh selama beberapa jam bagi pulang beraya di kampung.
Sokongan di bahagian pinggul, pinggang dan bahu juga adalah cukup selesa serta tempat duduk juga adalah lembut dan tidak keras seperti kebanyakan pesaing yang lain. Hanya bunyi bising daripada tayar Dunlop Sport 224/40 dengan rim 18 inci sahaja yang menerjah masuk ke dalam kabin
Penulis juga mencadangkan jika anda membeli Corolla GR ini, perkara pertama yang perlu ditukar ialah tayar kepada jenama yang lebih baik seperti Michelin Pilot Sport atau Continental Max Contact yang lebih senyap dan menawarkan cengkaman yang bagus pada masa yang sama.
Ada 3 perkara yang boleh dipuji berkenaan dengan Toyota Corolla GR ini. Pertama ialah ciri Pemanduan Adaptif Automatik dan juga Low Speed Follow yang sangat berguna ketika melayan kesesakan jalan raya semasa pulang ke kampung.
Operasinya sangat halus, tidak melakukan brek mengejut dan menyambung operasi pedal minyak dengan cermat. Kedua ialah kusyen di bahagian penumpang belakang masih lagi selesa walaupun untuk kegunaan warga emas, membuktikan Corolla adalah sesuai untuk semua lapisan pengguna
Ketiga ialah kewujudan tempat untuk meletak minuman yang banyak di dalam kabin, memudahkan pemandu dan penumpang untuk meletakkan minuman semasa dalam perjalanan di dalam cuaca yang panas dan kering Malaysia.
Namun ada beberapa perkara yang boleh diperbaiki bagi menjadikan Toyota Corolla GR ini lebih selesa untuk dipandu. Antaranya ialah seperti memasang lampu pencahayaan di suis di tepi pintu, perehat tangan belakang perlu ditinggikan sedikit untuk keselesaan dan juga operasi Lane Keep Assist yang tidak berapa lancar.
Dengan harga penawaran RM 153,000 Toyota GR Corolla adalah sebuah sedan yang luas, membenarkan anda menikmati perjalanan yang menyeronokkan di laluan berselekoh samaada untuk memandu secara santai ataupun secara agresif