" "
Buletin

TOYOTA COROLLA GR SPORT 2023 DILANCARKAN. LEBIH SPORTY, 3 PILIHAN WARNA, BERMULA RM153K

UMW Toyota Motor hari ini memperkenalkan Toyota Corolla GR Sport serta Toyota Corolla 1.8G dan 1.8E yang telah ditambah baik. 

Sedia maklum bahawa Corolla merupakan model terlaris di seluruh dunia dengan jualan lebih 1.15 juta unit selepas diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 1966. Sudah memasuki generasi ke-12, Corolla dijual di lebih 150 buah negara. 

Corolla generasi terkini dilancarkan di Malaysia pada Oktober 2019 menerusi dua varian iaitu Corolla 1.8G dan Corolla 1.8E. Ia didatangkan sebagai model import sepenuhnya (CBU) dari kilang  Toyota di Thailand.

Varian terbaharu Corolla GR Sport merupakan model GR Sport keempat yang ditawarkan di Malaysia selepas Vios GR Sport (Disember 2020), Corolla Cross GR Sport dan Hilux GR Sport (Februari 2023). 

Melihat kepada bahagian luaran, Corolla GR Sport menerima bampar dengan gril radiator berbentuk mesh yang lebih lebar berwarna hitam berkilat. Pada bahagian bawah, ia dilengkapi dengan sepasang lampu nyalaan siang (DRL) LED untuk tampil lebih agresif. 

Jentera itu turut dipasang dengan pelindung bahagian bawah badan yang membuatkannya kelihatan lebih rendah. Berbeza dengan varian biasa, perumah cermin sisi berwarna hitam. 

Karekter sporty ditingkatkan dengan penggunaan rim aloi rekaan baru berwarna hitam berkilat. Rim tersebut dibalut dengan tayar lebih lebar bersaiz  225/40R18 untuk cengkaman mantap. 

Aspek pengendalian sedan tersebut dipertingkatkan apabila suspensi hadapan dan belakang menerima talaan istimewa daripada pasukan Toyota Gazoo Racing. Talaan tersebut melibatkan penyerap hentak, coil springs belakang serta bar penstabil pada gandar hadapan dan belakang. 

Talaan itu membolehkan Corolla GR Sport mendapat hasil redaman dan pergerakan suspensi yang lebih lancar. 

Untuk tampil lebih sporty, versi paling tinggi itu dipasang dengan tema rona hitam dan merah pada keseluruhan kabinnya. Emblem GR boleh didapati pada perehat kepala, karpet lantai dan butang penghidup enjin. 

Corolla GR Sport dan varian G menerima paparan digital meter kluster baharu bersaiz 12.3 inci. Skrin untuk sistem infohibur masih kekal bersaiz 9” tetapi mendapat grafik baharu. 

Sebagai sebuah model baharu, port USB kini dinaik taraf kepada Type C. Satu klip juga ditambah pada pad pengecasan tanpa wayar bagi memastikan peranti pintar tidak bergerak ketika kereta dipandu. 

Corolla GR Sport masih menggunakan enjin 1.8 liter 2ZR-FE 4 silinder DOHC dengan ciri Dual VVT-i yang mampu menjana kuasa 139PS  pada 6,400rpm dan tork 172Nm pada 4,000rpm. Enjin itu dipadankan dengan kotak gear CVT Sequential Shiftmatic 7-kelajuan automatik yang menjanjikan pemanduan yang lancar dan menjimatkan bahan api. 

Corolla GR Sport yang hadir dalam tiga warna pilihan iaitu merah metalik, putih mutiara dan hitam itu boleh anda miliki pada harga bermula RM152,800 seunit. 

Untuk varian Corolla 1.8G dan 1.8E pula, penambahbaikan yang diterima adalah agak minimum. Bahagian hadapan mendapat bahagian bawah gril baharu berwarna hitam berkilat. Sama seperti sebelum ini, semua lampu menggunakan lampu LED. 

Corolla 1.8G dipasang dengan rim bersaiz 17 inci (tayar 225/45R17) dan Corolla 1.8E mendapat rim berukuran 16 inci (tayar 205/55R16)

Pelanggan boleh memilih antara warna kelabu, merah, putih mutiara, hitam dan warna baharu yang dikenali sebagai  Metal Stream ME.  

Jika berminat, Corolla 1.8G ditawarkan pada harga bermula RM147,800 dan 1.8E pula berharga RM139,800.

GALERI

Google ads
Back to top button