Buletin

TOYOTA COROLLA HATCHBACK – YANG INI PUN ON!

UMW Toyota Motor baru sahaja menyerahkan Toyota C-HR kepada 50 pelanggan terawal pada 22 Mac lalu. Walaupun banyak rungutan tentang harganya yang tinggi iaitu sekitar RM 145,000 tetapi itu tidak menghalang 1,500 pelanggan daripada membuat tempahan.

Apakah maksud semua ini?

Pelanggan kalau sudah suka, harga tidak menjadi penghalang dan salah satu sebab kenapa C-HR atau Mazda CX-3 tetap dibeli ialah kerana rekabentuk yang unik. 

Bayangkan jika C-HR atau CX-3 diletakkan pada paras harga Honda HR-V? Pasti saingan lebih sengit bukan.

Sebelum ini juga kami sudah paparkan dua artikel tentang Toyota Auris atau Corolla Hatchback yang meneruskan gayaan rekabentuk terkini Toyota seperti pada Vellfire, Alphard dan C-HR.

Rupa-rupanya ada satu lagi versi iaitu Corolla Hatchback yang berlainan dengan Auris. Corolla Hatchback bakal ditampilkan buat pertama kali di Pameran Kenderaan New York minggu hadapan. 

Walaupun nun jauh di NY, Corolla Hatchback adalah model global dan akan turut dipasarkan pasaran utama dunia. Australia akan menerima model ini pada Ogos nanti.

Perbezaan ketara di antara Auris untuk pasaran Eropah dan Corolla Hatchback global ialah pada bahagian depan dan belakang. 

Jika diteliti secara dekat, semuanya adalah sama tetapi rekaan bamper yang ekspresif langsung membezakan terus kedua-dua model ini.

Eh sekejap. Mana ada beza, sama sahaja dengan Auris! Perbezaan nyata hanyalah permainan warna dan kemasan krom pada bamper hadapan.

Jadi apabila Perodua Myvi dipasarkan ke Indonesia sebagai Daihatsu Sirion tanpa perubahan maka kita tahu bahawa inilah ‘game’ kumpulan Toyota Motor Corporation.

Walaupun luaran 99 peratus hampir sama, lain pula jika halnya dengan enjin. Untuk Auris, Toyota hanya menawarkan satu enjin petrol 1.2 liter turbo manakala dua lagi ialah enjin hibrid 1.8 dan 2.0 liter.

Untuk Corolla Hatchback, Toyota menawarkan enjin 2.0 liter baharu VVT-iE dengan teknologi pancitan bahan api D-4S tebaru.

Teknologi ini merujuk kepada variable valve timing-intelligence by electric motor yang terletak pada bahagian masukan (intake) dan VVT-i pada bahagian ekzos.

VVT-iE menggunakan motor elektrik berbanding tekanan minyak bagi mengawal pemasaan injap boleh ubah (variable valve timing).

Teknologi ini menjadikan enjin lebih berkuasa dan lebih cekap bahan api selain daripada emisi lebih bersih. Satu lagi keistimewaan enjin 2.0 ini ialah ia lebih kecil dan ringan berbanding enjin 1.8 empat silinder sedia ada.

Enjin ini turut membantu dalam memberikan titik tengah graviti (CoG) yang lebih rendah dan seterusnya memberikan keseimbangan kereta yang baik.

Satu lagi teknologi baharu ialah transmisi enam kelajuan manual pintar yang mempunyai kawalan rev-match apabila gear dianjak ke bawah. Sama seperti enjin baharu, transmisi ini 6.8kg lebih ringan dan 24 mm lebih pendek berbanding pada model sedia ada.

Transmisi manual ini juga salah satu paling cekap di dunia selain di antara yang terkecil.

Walaupun transmisi ini bunyinya menggiurkan tetapi tidak semua pemandu suka menekal klac. Bersama enjin 2.0 liter, Toyota turut membekalkan transmisi Dynamic-Shift CVT dengan simulasi 10 tukaran gear sequential serta fungsi sport mode.

Untuk mereka yang mahukan sesuatu lebih bersih, Toyota turut menawarkan nadi kuasa hibrid 1.8 liter terkini sama seperti kembarnya iaitu Auris di Eropah.

Jika ada yang berminat dengan model ini, entahlah, rasa seperti sukar untuk Corolla Hatchback dipasarkan di sini. Tetapi jika sambutan C-HR menjadi ukuran, harga bukan penghalang untuk pasaran menerimanya.

Lagi pula kerajaan menyediakan insentif besar untuk kenderaan EEV atau hibrid. Mungkin UMW Toyota Motor boleh memilih jalan tersebut.

BACA: TOYOTA BEKUKAN CH-R SEMATA-MATA UNTUK UJI KETAHANAN AKSESORI

BACA: TOYOTA GUNA ROBOT UNTUK UJIAN LUBANG JALAN, KERANA MANUSIA TIDAK CEKAP

Google ads
Back to top button