
INI MUNGKIN EDISI TERAKHIR TOYOTA 86 – BLACK LIMITED CONCEPT
Toyota mungkin membuatkan ramai pengunjung melelehkan air liur mereka dengan tiga model Hachiroku di ruang pameran mereka sewaktu Tokyo Auto Salon. Tujuan ketiganya diletakkan sebaris ialan untuk menonjolkan prototaip terbaru Toyota 86 yang dinamakan Black Limited Concept. Bagi peminat sejati AE86 sudah tentu nama itu sudah biasa didengar sebelum ini. Malah masih menjadi sebutan peminatnya sehingga kini.

AE86 Black Limited asal dilancarkan pada bulan Januari tahun 1986 ketika Pok Ya dan Abang Japar masih sekolah rendah. Ia merupakan sebuah model edisi kerana dihasilkan sebanyak 400 unit sahaja. Diasaskan daripada varian GT-Apex sama seperti digunakan Takumi Fujiwara tetapi dengan warna eksklusif serba hitam, sportrim snowflake berwarna emas dan dilengkapi logo-logo yang juga berwarna keemasan.
Bahagian dalaman turut diserikan dengan meter-meter nyalaan oren keemasan yang memang berbeza dengan varian standard yang mempunyai meter nyalaan hijau putih. Tulisan “TWINCAM 16” di tengah roda stereng juga berwarna emas begitu juga dengan petunjuk tukaran gear pada tombol gear.
Tidak ada naik taraf langsung dari segi prestasi sebenarnya tetapi dengan gandingan dua warna yang berbeza dan statusnya sebagai model edisi khas terakhir sudah cukup untuk peminat 86 sejati di seluruh dunia.

Toyota 86 Black Limited Edition boleh dikira satu penghormatan untuk AE86 Black Limited Edition asal. Sebelum ini sudah pelbagai model edisi terhad 86 dikeluarkan tetapi yang satu ini memang istimewa. Ia mempunyai sport rim standard berwarna emas dan tulisan timbul “Black Limited” dengan jahitan emas pada bahagian papan pemuka. Sebagai tambahan ruang keluaran penyaman udara, konsol tengah dan bahagian tengah stereng kini berwarna dan bukan lagi berwarna perak seperti model standard.
Walaupun buat masa sekarang ia dilabelkan sebagai konsep tapi sebenarnya bukannya susah sangat untuk diproduksikan. Ia juga mungkin sebagai petunjuk bahawa ini juga akan menjadi varian terakhir sebelum dihentikan pengeluaran.
Khabar angin yang bertiup menyatakan Toyota dan Subaru kini sedang membangunkan 86/BRZ generasi baharu yang akan diperkenalkan dalam tahun ini dan dikuasakan oleh enjin 2.4L flat-four Subaru. Memang kena pula dengan masanya Black Limited Edition ini dipertunjukkan kepada orang ramai kan?
Kredit japanesenostalgiccar.com