
TOYOTA GR COROLLA MUNGKIN ADA VERSI AUTOMATIK – BOSS GR
Presiden Toyota Gazoo Racing, Tomoya Takahashi memberi bayangan bahawa Toyota GR Corolla mungkin akan ditawarkan dengan transmisi automatik pada tahun ini bagi menarik lebih banyak pembeli. Langkah ini diambil bagi mencari lebih banyak pembeli dan juga meningkatkan jualan Toyota GR Corolla
Seperti yang kita sedia maklum, GR Corolla menggunakan enjin 3 silinder turbo G16E-GTS dan juga sistem pacuan semua roda GR-Four sama seperti GR Yaris. Toyota juga telah melancarkan GR Yaris dalam versi automatik ketika berlangsungnya acara Tokyo Auto Saloon baru-baru ini.
Varian automatik menggunakan transmisi Gazoo Racing Direct Automatic Transmission, bukannya sistem dual klac yang biasa digunakan oleh Volkswagen. Ia adalah transmisi yang berasaskan torque converter dan direka khusus dengan sistem kepandaian buatan untuk digunakan di litar lumba
Transmisi 8 kelajuan automatik ini telahpun diuji di acara perlumbaan TOYOTA GAZOO Racing Rally Challenge. Langkah untuk menawarkan transmisi automatik pada GR Corolla ini mungkin dibuat selepas data jualan di Amerika mendapati hanya 48% pembeli memilih varian manual bagi model GR86 dan 43% pembeli GR Supra dalam varian manual
Ya walaupun ada pembeli yang bising kerana GR Supra tidak ditawarkan dalam varian manual, tetapi data jualan menunjukkan varian automatik masih lagi menjadi pilihan pembeli. Bagi sistem GR Direct Shift Automatic, ia menggunakan perisian yang akan memilih gear berdasarkan input pemandu pada pedal minyak dan brek bagi menghasilkan penukaran gear seperti gear manual dalam perlumbaan
Komponen yang digunakan juga adalah komponen yang tahan haba dan juga berupaya menawarkan geseran yang tinggi terutama pada sistem klac. Gear ini juga menggunakan susunan ratio yang rapat sama seperti gear manual 6 kelajuan, cuma ditambah lagi dengan 2 ratio tambahan bagi mengekstrak kuasa enjin yang ideal
Bagi kebanyakan pembeli, mereka lebih suka untuk menggunakan transmisi automatik sekiranya bekerja dan berulang alik di kawasan yang sesak. Besar kemungkinan GR Corolla akan ditawarkan dalam varian automatik pada tahun ini ataupun pada awal tahun 2025.

