
TOYOTA BZ4X KINI DIPAMERKAN DI HQ UMWT SHAH ALAM – 201HP, JARAK GERAK 500KM
Pada Disember tahun lalu, UMWT mengesahkan SUV elektrik (EV) Toyota bZ4X akan dilancarkan di pasaran pada tahun ini dan SUV elektrik berkenaan kini dipamerkan di HQ UMWT di Shah Alam.
Sebelum ini, UMWT mendakwa bahawa syarikat mengambil peluang atas insentif pengecualian duti import dan eksais untuk model EV yang diimport sepenuhnya sehingga 31 Disember 2024 yang ditawarkan oleh kerajaan Malaysia.
Pelancaran model SUV elektrik ini juga selaras dengan strategi berbilang laluan Toyota untuk mencapai sasaran neutraliti karbon menjelang 2050.

Untuk makluman, model yang terdapat di HQ UMWT Shah Alam adalah untuk penilaian sebelum memuktamadkan spesifikasi rasmi bagi bZ4X pasaran Malaysia.
bZ4X dibina di atas platform e-TNGA dan mempunyai dimensi 4,690mm (panjang), 1,860mm (lebar), 1,600mm (tinggi) serta jarak roda pada 2,850mm.
Unit pameran bZ4X tersebut menerima paparan instrumen digital tujuh-inci, skrin infotainmen 12.3-inci, pengecas telefon pintar tanpa wayar dan upholsteri kulit sintetik.

Perincian lain termasuklah lampu luaran LED, set rim 20-inci, tempat duduk pemandu dan pintu tailgate bantuan elektrik serta sistem bantuan pemanduan keselamatan Toyota Safety Sense.
Dari segi kuasa, ia dijana oleh motor elektrik tunggal diletakkan pada gandar hadapan, berupaya menghasilkan 201hp dan tork 266Nm, sama seperti unit keluaran Indonesia.
Perbezaan spesifikasi untuk pasaran Thailand dan Indonesia adalah model bZ4X di Thailand ditawarkan dalam versi dua motor pacuan semua roda yang mampu menjana kuasa 215Hp dan tork 337Nm.
Ia dipadankan bersama pek bateri bateri lithium ion 71.4 kWj, menawarkan jarak gerak sehingga 500km pada satu pengecasan penuh. Di Thailand, model lebih berkuasa hanya mampu bergerak sejauh 411km dengan sekali cas penuh.
Untuk rekod, model ini menyokong sistem pengecas AC sehingga 6.6 kW menerusi penyambung Type 2 serta pengecas pantas DC dengan penyambung CCS2 sehingga 150 kW.
UMWT bagaimanapun masih belum mendedahkan harga bagi pasaran Malaysia. Di pasaran Indonesia, bZ4X boleh dimiliki pada harga bermula Rp 1,190,000,000 (RM359,678), sementara bZ4X versi AWD di pasaran Thailand diberikan tanda harga dari 1.836 juta Baht (RM237,000).
GALERI:

















- BACA: UMW TOYOTA MOTOR DAN PERSATUAN ALAM SEMULAJADI TANAM LEBIH 6,000 POKOK
- BACA: TOYOTA PEGANG TAKHTA PENGELUAR BUKAN NASIONAL NO.1 – CATAT JUALAN KESELURUHAN 101,035 UNIT TAHUN 2022
- BACA: UMW TOYOTA MOTOR LANCAR TOYOTA ECO YOUTH EDISI 2022/2023. TEMA ‘CHAMPIONING MOBILITY’
- BACA: TOYOTA KEMASKINI MODEL YARIS, TIADA LAGI VARIAN J. HARGA BERMULA RM 83,300







