Artikel Pilihan

SELAMAT ULANG TAHUN KE-50 TOYOTA HILUX!

SHARE
New Triton 4Sure Power -MREC – Desktop

50 tahun dahulu Toyota telah menghasilkan sebuah trak utiliti yang paling lasak kepada dunia. Walaupun namanya kelihatan agak janggal, Hilux – gabungan perkatakan “high” dan “luxury” yang bermaksud penuh kemewahan, ia sebenarnya mempunyai ciri sebaliknya kerana disasarkan untuk golongan petani dan buruh di Jepun. Tapi kini ia telah menjadi trak gaya hidup yang sebenarnya langsung tidak dijangka oleh Toyota.

Untuk pengetahuan korang, Hilux ni asalnya dilahirkan hasil gabungan Toyota dan Hino pada tahun 1966. Pada waktu itu kebanyakan trak pikap di Jepun menggunakan rekaan cab-over di mana pemandu duduk di atas enjin sama seperti van pengangkut barangan. Sebagai alternatif, Toyota menawarkan casis Corona dan Crown untuk menjadi asas kepada trak pikap mereka. Tapi citarasa pengguna Jepun yang semakin tinggi membuatkan penggunaan sedan terbaik mereka menjadi asas kepada trak pikap kelihatan agak janggal. Yelah kita beli kereta mewah, tengok kat tepi ada pulak lori ikan dengan kepala yang sama seperti kereta kita.

Walaupun bergabung, Toyota lebih fokus kepada kereta penumpang manakala Hino pula membangunkan trak-trak komersil dan bas. Hino turut menghasilkan Briska, sebuah pikap kecil dengan enjin 900 dan 1300cc tetapi sudah menghampiri penghujung pengeluaran. Keputusan kemudian dicapai untuk menggantikan Briska dengan Hilux. Disebabkan saiznya yang kecil ia akan dipasarkan sebagai sebuah Toyota tetapi dihasilkan oleh Hino di kilang mereka di barat Tokyo.

Tujuan asal Hilux ialah untuk menghasilkan sebuah trak utiliti tetapi dengan ciri-ciri yang sama seperti sebuah kereta sedan. Seolah-olah Toyota mahu meyakinkan pelanggan yang mereka masih akan dapat menikmati keselesaan yang sama seperti sebuah Toyota Crown. Toyota memberikan Hilux baru ini sebuah bonet yang sama seperti kereta selain ciri-ciri sedan lain seperti kemasan Standard dan Deluxe.

BACA: BAW WARRIOR – PIKAP CHINA YANG SEJUK (COOL)

Generasi pertama Hilux menggunakan kod casis N10 dan ditawarkan dengan enjin 1.5-liter 2R yang mampu menghasilkan 70 hp kuasa dan digandingkan dengan kotak gear manual 4-kelajuan. Ruang kargo asal hanyalah sepanjang 73 inci sebelum ditambah kepada 88 inci pada tahun 1969. Berat maksima yang mampu digalas ialah 998 kilogram. Enjinnya kemudian dinaiktaraf kepada enjin 1.6-liter OHV 12R yang mampu menghasilkan 83 hp kuasa.

Generasi kedua Hilux hadir pada tahun 1972 dan diberi nama gelaran rokuhai (rocket Hilux). Enjinnya juga adalah lebih berkuasa dan mampu menghasilkan 105 hp untuk pasaran Jepun dan dikenali dendan nama Hilux Highway. Buat pertama kali juga kotak gear automatik 3-kelajuan ditawarkan untuk Hilux.

Pada tahun 1975 terdapat model Hilux dengan enjin 2.2-liter khusus untuk pasaran AS. Ia dilengkapi dengan kemasan yang dinamakan SR-5 dengan kotak gear manual 5-kelajuan dan pelekat badan era disko. Nama Hilux bagaimanapun tidak digunakan di AS di mana ia cuma dikenali dengan nama Toyota Truck.

Versi Hilux pacuan empat roda diperkenalkan buat pertama kalinya pada tahun 1979 dengan enjin 18R, suspensi yang ditinggikan, tayar bersaiz besar dan arca roda yang lebar lengkap dari kilang. Pada tahun yang sama enjin disel turut diperkenalkan pada Hilux dan versi empat pintu double-cab menyusul pada tahun 1981.

Generasi keempat menyusul pada tahun 1983 di Jepun dan kelihatan lebih bersegi dan ditawarkan dengan pilihan 2WD dan juga 4WD. Pelanggan juga boleh memilih antara enjin 2.4-liter petrol ataupun disel.

Enjin berkuasa turbo pula ditawarkan pada tahun 1985 bagaimanapun pada peringkat awal ia kurang mendapat perhatian. Berbeza betul dengan zaman sekarang kan?

Terdapat juga Hilux versi rekreasi dengan bumbung belakang yang boleh dibuka dan dinamakan Toyota Surf. Ia perkenalkan dalam tahun 1984 dan dikenali dengan nama 4Runner di AS. Ia cukup popular dan mengatasi jualan Hilux sendiri di AS.

Generasi kelima Hilux yang kemudiannya menjadi kenderaan rasmi tokey-tokey balak diperkenalkan pada tahun 1988. Ia dikuasakan dengan enjin 2.4-liter yang terbukti cukup tahan lasak.

Generasi Hilux ke enam dan seterusnya menjadi lebih terbuka di mana ia dihasilkan dalam dua versi. Satu untuk kegunaan peribadi dan rekreasi dan satu lagi untuk kegunaan komersil.

Bermula generasi ketujuh, Hilux mula dihasilkan untuk platform globalbagi menakluk pasaran di seluruh dunia. Produksi di Jepun dihentikan dan kini ia dihasilkan oleh kilang-kilang Toyota di Thailand, Malaysia, Afrika Selatan, Venezuela dan Pakistan.

2015 menyaksikan kelahiran generais kelapan Hilux dan Toyota mula memasarkannya kembali di Jepun. Bayangkan sebuah Toyota yang dihasilkan di Thailand yang kemudiannya dieksport ke Jepun. Ia juga merupakan kereta buatan Thailand yang pertama dipasarkan di Jepun.

Kini setelah 50 tahun usia, Hilux masih kekal sebagai peneraju pasaran trak pikap dunia yang menarik minat jutaan peminat dan juga err…pencuri kenderaan di Malaysia. Harganya? Hmm boleh tahan untuk sebuah Hilux besi yang selalu masuk hutan. Jangan harap anda boleh mendapatkan sebuah model Hilux tokey balak dengan harga di bawah RM25k. Kalau adapun mesti yang tak cukup syarat.

Kalau anda memiliki pikap keluaran syarikat lain jangan kecil hati bila balik kampung trak anda masih akan digelar Toyota Hilux walaupun logo FORO anda sebesar gedabak di hadapan. Itulah kehebatan Toyota Hilux. Selamat hati jadi ke-50 Toyota Hilux.

Tags
Google ads
Back to top button
Close