Buletin

TOYOTA HILUX WAJAH BAHARU, 5 VARIAN. TAMPIL LEBIH RUGGED, PADU. HARGA BERMULA RM93K

UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. melancarkan model trak pikap paling laris di Malaysia, Toyota Hilux 2020 yang telah mendapat tempahan lebih 5,000 unit sejak 3 Ogos lalu.

Hilux terbaharu ini ditawarkan dengan lima varian didahului dengan Hilux Rogue Double Cab AT yang paling berkuasa.

Varian lain merupakan Hilux 2.4 V AT Double Cab, Hilux 2.4 E AT Double Cab, Hilux 2.4 G MT Double Cab dan Hilux 2.4 MT Single Cab.  Ia dijual pada harga bermula RM92,880.

Model terbaharu kali ini menawarkan tujuh pilihan warna iaitu gangsa (Bronze Mica Metallic),merah (Crimson Spark Red Metallic), hitam (Attitude Black Mica), perang (Phantom Brown Metallic), perak (Medium Silver Metallic dan Silver Metallic) serta putih (Super White II).

Begitupun,  Hilux Single Cab, ia hanya ditawarkan dalam warna putih (Solid White) sahaja.

Hilux terbaharu menampilkan rekaan lebih menarik dipadankan gril hadapan baharu dengan elemen-elemen moden menyerlahkan lagi sisi padu jentera ini.

Bagi varian Hilux Rogue, ia hadir dengan kabin dalaman premium sekali gus memberi keselesaan kepada pemandu dan penumpang.

Selain itu, rekaan dalaman jentera ini mendapat sentuhan pencahayaan pintu berwarna biru.

Aspek keselesaan diberikan penambahbaikan termasuk mengoptimumkan mount kabin untuk mengurangkan gegaran serta bunyi bising daripada memasuki kabin.

Jentera terbaharu ini menawarkan pilihan dua mod pemanduan, sama ada bagi mengutamakan penjimatan minyak atau untuk kuasa pecutan.

Ia boleh dipilih dalam keadaan kenderaan bergerak melalui suis rotari.

Sistem stereng turut diperbaharui dengan Sistem Kawalan Aliran Boleh Ubah (VFC) kecuali pada varian Single Cab.

Dengan sistem ini, bebanan dikurangkan di bahagian pam stereng sekali gus mengurangkan penggunaan bahan api.

Hilux Rogue turut dilengkapi Toyota Safety Sense (TSS) terdiri daripada tiga ciri yang membantu pemandu iaitu Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dengan Bantuan Brek dan Stereng. 

Ia mendapat khidmat enjin 2.8 liter turbodiesel yang mampu menjana kuasa mencecah 204 ps dan tork 500 Nm.

Biarpun, janaan kuasa lebih tinggi, kadar penggunaan minyak dikurangkan sebanyak empat peratus kepada purata 10.9 km bagi setiap liter.

Bagi enjin 2.4 liter pula, ia turut dilengkapi Variable Nozzle Turbocharger (VNT) dan intercooler serta sistem common-rail.

Dengan tekanan lebih tinggi pada sistem common-rail berkenaan, penjimatan minyak dapat ditingkatkan sebanyak lima peratus.

Enjin dipertingkatkan ini membolehkan tempoh antara servis yang lebih panjang, daripada 5,000 km / tiga bulan sebelum ini kepada 10,000 km / enam bulan sekali gus menyumbang kepada penjimatan kos penyelenggaraan.

Semua varian didatangkan dengan transmisi enam kelajuan.  Bagi varian Double Cab, ia dilengkapi transmisi automatik dengan Sequential Shift manakala Hilux Single Cab menjadi satu-satunya menggunakan transmisi manual.

Dari segi kestabilan dan cengkaman lebih baik dalam pemanduan off-road, ia dilengkapi  Auto Limited Slip Differential (Auto LSD) yang menggunakan Sistem Kawalan Cengkaman (TRC).

Aspek keselamatan pula (bergantung kepada varian) termasuk Peninjau Titik Buta dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang, Kawalan Bantuan Menuruni Curam, Kawalan Mula Mendaki, Kawalan Olengan, Kawalan Kestabilan dan Kawalan Cengkaman dan ABS.

Setiap varian Hilux didatangkan dengan sistem pencegahan kecurian tersendiri, meliputi immobilizer enjin, penggera dan sensor pencerobohan kabin.

Di dalam kabin, terdapat sehingga tujuh beg udara tersedia bagi mengurangkan kecederaan kepada penumpang sekiranya berlaku kemalangan.

Pengingat tali keledar kini mempunyai sensor bagi bahagian depan dan belakang.

ISOFIX tururt disediakan di bahagian belakang bagi memudahkan pemasangan kerusi keselamatan kanak-kanak.

Pembeli Hilux terbaru ini berpeluang menikmati penjimatan sehingga 13 peratus ketika menghantar kenderaan untuk servis dan menikmati potongan harga sehingga 20 peratus bagi alat ganti terpilih dengan pakej Toyota Service Savers.

Ia ditawarkan dalam tempoh 5 tahun atau 3 tahun, kos bagi pakej berkenaan akan dimasukkan ke dalam skim pembiayaan sebagai sebahagian kos pembelian kenderaan.

Barisan model Hilux terbaru kini boleh diuji di semua bilik pameran rasmi Toyota seluruh negara.

Google ads
Back to top button