Buletin

TOYOTA LAND CRUISER 1978 ‘MUDCRAB’ PECAH REKOD, PANDU SEJAUH 7KM DI DASAR LAUT

Sekumpulan peminat kereta di Australia baru-baru ini mencipta rekod dunia apabila memandu Toyota Land Cruiser 1978  di dalam dasar laut.

Model digelar sebagai ‘Mudcrab’ berkenaan berjaya memandu sejauh tujuh kilometer di dalam dasar laut dan mengambil masa kira-kira 12 jam, iaitu lima jam lebih lama berbanding perancangan asal.

Untuk percubaan ini, 30 penyelam komersial bergilir-gilir untuk membantu serta mengawasi pergerakan.

Menurut laporan, Land Cruiser tersebut beberapa kali tersumbat hingga memerlukan pelampung untuk mengangkatnya keluar dan terpaksa diangkat melalui saluran paip gas.

Dengan segala cabaran dihadapi, percubaan tersebut adalah kejayaan manis selain mencipta rekod baharu bagi kategori jarak terjauh dipandu dalam air.

Melihat semula proses sebelum percubaan itu dilakukan, Toyota Land Cruiser 1978 berkenaan dibeli pada AUS$5,000 atau bersamaan dengan RM14,889.

Setelah itu, barulah jurutera mekanikal serta penyelam mengubah suai dan menambah baik enjin yang bersesuaian bagi memastikan ia boleh dipandu di dalam air.

Selain disalut menggunakan minyak silikon, pasukan jurutera mekanikal ‘Mudcrab’ ini turut menggantikan tayar lama kepada tayar Maxxis Trepado dan diisi dengan air sehingga beratnya mencecah 150kg bagi setiap tayar.

Walau bagaimanapun, percubaan berani itu tidak akan mendapat perhatian Guinness World Records atas faktor kos dikeluarkan untuk menjayakan misi memandu di dalam dasar laut.

Google ads
Back to top button