TOYOTA MASIH MERAGUI EV – AKTIF TEROKA ENJIN BERKUASA AMMONIA
Ketika dunia sedang beralih kepada masa depan serba elektrik, Toyota secara konsisten mengambil jalan yang berbeza.
Pengeluar kereta Jepun itu masih meragui keberkesanan pada kenderaan elektrik (EV) dan untuk itu, Toyota sedang aktif meneroka tenaga alternatif iaitu enjin berkuasa ammonia.
Enjin ammonia ialah sejenis enjin pembakaran dalaman menggunakan ammonia sebagai sumber bahan api utamanya. Apa yang menjadikan ammonia unik ialah komposisinya, di mana ia terdiri daripada satu atom nitrogen dan tiga atom hidrogen.
Menurutnya, ketiadaan atom karbon dalam ammonia diterjemahkan kepada ketiadaan pelepasan karbon dioksida semasa pembakaran. Ciri yang berbeza inilah sebabnya enjin ammonia dilihat sebagai penyelesaian menjanjikan untuk neutraliti karbon.
Terdapat beberapa pendekatan untuk membuat enjin ammonia berfungsi secara berkesan. Salah satu kaedahnya ialah menggabungkan ammonia dengan bahan api lain seperti diesel, gas atau hidrogen, menjadikan pencucuhan lebih mudah dan mengekalkan pembakaran.
Kaedah lain yang lebih kompleks melibatkan penggunaan ammonia sebagai sumber bahan api utama, bergantung pada teknologi canggih seperti pencucuhan percikan, pencucuhan mampatan atau pencucuhan mampatan caj homogen.
Tidak kira kaedahnya, kelebihan utama enjin ammonia ialah ketumpatan tenaga yang tinggi. Ketumpatan tenaga yang tinggi ini membolehkan penyimpanan serta pengangkutan tenaga lebih cekap.
Yakin dengan enjin ammonia sebagai penyelesaian tenaga mampan, Toyota menjalin kerjasama dengan pengeluar China GAC Group, di mana Toyota turut memiliki kepentingan, telah melancarkan enjin ammonia prototaip.
Enjin empat silinder 2 liter inovatif ini didakwa menghasilkan 161hp dan berupaya mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 90 peratus.
Walaupun pelaksanaan segera enjin ammonia dalam kenderaan penumpang mungkin tidak berlaku dalam tempoh terdekat tetapi potensinya tidak dapat dinafikan.
Kemajuan berterusan dalam teknologi enjin ammonia, ditambah dengan penglibatan strategik pemain utama seperti Toyota, membayangkan masa depan di mana pilihan pengangkutan lebih bersih dan lebih mampan mungkin menjadi kenyataan.
Sekiranya berjaya diguna pakai kelak, ia pastinya bakal merevolusikan industri automotif di masa depan sekali gus merealisasikan pengangkutan mesra alam serta memberikan pengguna lebih banyak pilihan.
- BACA: ‘LEAVE NO ONE BEHIND’, TOYOTA KONGSI HALA TUJU MOBILITI MASA DEPAN DI ASIA
- BACA: TOYOTA KIJANG INNOVA PALING LARIS DI INDONESIA, CATAT JUALAN 6,486 UNIT
- BACA: TOYOTA LANCAR APLIKASI TOYOTA MY – TAWAR CIRI KOMPREHENSIF UNTUK MEMUDAHKAN PELANGGAN
- BACA: TOYOTA SEDIA CETUS TRANSFORMASI BAHARU UNTUK ELEKTRIFIKASI DAN HIDROGEN