Modifikasi

TOYOTA STARLET EP71 TURBO. EH. MANA PINTU BELAKANG?

Sesuai dengan trend semasa untuk kenderaan kelas sub kompak dan supermini, konfigurasi pacuan untuk model Starlet generasi ketiga (EP70), telah bertukar daripada pacuan belakang kepada pacuan depan sepenuhnya. Rasa nak mengamuk acik-acik kat Jepun apabila Starlet yang baru mereka beli, gagal melakukan aksi drift seperti yang boleh dilakukan sebelum ini.

Logiknya adalah untuk mengurangkan kos jualan, lebih-lebih lagi untuk sebuah kereta bersaiz kecil seperti ini. Yang lain dah mula buat, takkan Toyota nak tengok saja. Memandangkan komponen yang terlibat jauh lebih ringkas, ia turut membantu mengurangkan berat keseluruhan, sekaligus menghasilkan sebuah kereta yang lebih lincah.  

Starlet Kurt’z ini mungkin nampak biasa jika terserempak dari depan. Namun sebaik ia melintas dari pandangan, profil sisinya boleh membuatkan masyarakat Starlet mengigau teruk. Yang cukup pintu pun makin payah nak jumpa, apa lagi untuk model dua pintu seperti ini!

Profil dua pintu membolehkan ia dipasangkan dengan kit badan lengkap model tertinggi EP71 Turbo S tanpa perlu diubahsuai. Tersemat di atas bumbungnya adalah spoiler tambahan, yang biasa digunakan untuk model soft top. Satu-satunya komponen asing yang ditambah adalah, lip depan kustom yang dipinjamkan dari model Toyota Mark II.

BACA: STARLET EP71 OTAI

Difahamkan kereta ini datang dengan enjin NA jenis 2E berkapasiti 1.3-liter. Sesuai dengan proses naik taraf yang dilakukan, kedudukan enjin tersebut telah digantikan dengan bersiput 4E-FTE yang lebih maju. Memang femes betol enjin nih. Bukan takat diburu geng-geng Starlet, yang acah-acah Tiara Mat Macau tu pun sibuk duk sesah enjin yang sama.

Proses tingkat taraf tertumpu di bahagian sistem pendesak, yang menggunakan unit turbo CT12B yang lebih besar. Sebuah wastegate Turbosmart 38mm juga dipasang untuk meredakan tekanan pada perumah turbo. Intercooler asal yang terletak di atas enjin, kemudiannya dialihkan ke ruang bumper menggunakan kit intercooler Blitz. Sementara lebihan tekanan yang terbentuk, akan dikeluarkan menerusi injap pelepas juga dari Blitz.

Keperluan bahan api dibawa menggunakan pam petrol Walbro. Ia dipancit menerusi set injektor berkapasiti 340cc, sambil dikawal regulator dari Sard. Bagi memastikan operasi enjin kekal optimum, aspek pemetaan kini dikawal sepenuhnya oleh unit ECU Blitz Access.

Bahagian dalam mendapat sentuhan perkakasan EP71 Turbo S untuk papan pemuka, tempat duduk dan panel pintu. Di ruang pemandu tersergam tempat duduk bucket dari TRD, lengkap dengan harness dari Sparco. Lain-lain komponen yang membantu menyerikan ruang adalah, stereng Nardi TRD, tombol gear TRD, pelapik pedal Razo serta karpet dasar berwarna merah. Sementara aspek pemantauan pulak, datang dari rangkaian meter Blitz DC, pengawal boost Blitz SBC, unit RSM Ultra Apexi, juga pemasa enjin GReddy.

Peningkatan terhadap sistem gantungan dibuat menggunakan set suspensi Tein HA, sebagai langkah menyokong tahap pengendaliannya. Untuk kuasa hentian, bahagian brek disalin sepenuhnya menggunakan komponen dari EP82 GT Turbo, termasuk penggunaan hos braided APP serta pad brek Bendix Metal King. Di bahagian roda tersemat rim 15-inci jenama Black Racing, yang dipadankan bersama tayar Bridgestone Potenza RE003 dari saiz 195/50R-15.

Bila sudah berkeluarga, penggunaan kereta cute berpintu dua seperti ini nampaknya tidak lagi praktikal. Sumbat beskal sebijik pun dah penuh. Atas alasan tersebut, ia kini banyak menghabiskan masanya di garaj rumah dan hanya keluar bila kawanan Starlet mula memanggil…

-PAK MAUN-

GALERI

Google ads
Back to top button