Buletin

TOYOTA SUPRA DILANCARKAN DI INDONESIA – RM589K HARGA ANGGARAN!

Nampaknya Toyota Supra sudah mula ditawarkan ke satu persatu negara di ASEAN dengan perkembangan terbaru ini.

Pada 9 Julai lalu Supra A90 baru sahaja dilancarkan di Filipina dan sempena Pameran Kenderaan Antarabangsa Gaikindo pada 18 Julai model ikonik itu dilancarkan secara rasmi di Indonesia.

Sebelum itu Supra dipertontonkan di Pameran Kenderaan Antarabangsa Bangkok pada Mac lalu.

Ini adalah satu perkembangan menarik memandangkan Supra baru sahaja dilancarkan secara rasmi di Detroit enam bulan lalu.

Supra yang dilancarkan di Australia, Filipina dan Indonesia mempunyai satu persamaan iaitu hanya enjin 3.0 liter turbo ditawarkan yang berkuasa 340 PS dan 500 Nm dari 1,600 hingga 4,500 rpm.

Enjin 3.0 liter turbo yang dibekalkan BMW tersebut dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan.

Di Jepun, Supra ditawarkan dengan satu lagi enjin iaitu 2.0 liter turbo dengan dua varian kuasa iaitu 258 PS dan 400 Nm dari 1,550 rpm hingga 4,400 rpm dan 197 PS dan 320 Nm dari 1,450 hingga 4,200 rpm.

Satu perkara yang tidak diperincikan ialah kaedah pembeliannya. Di Australia pembeli yang berminat perlu membuat tempahan di dalam talian dan ia berdasarkan siapa cepat dia dapat.

Tidak susah untuk menjual Supra di Australia kerana kesemua 150 unit yang dikhaskan habis ditempah dalam masa 22 minit sahaja selepas tawaran dibuka.

Walaupun dijual di serata dunia, Supra hanya dipasang di satu lokasi sahaja iaitu di Austria oleh Magna Steyr yang turut mengeluarkan BMW Z4.

Berkenaan harga di Indonesia,  PT Toyota Astra Motor belum mendedahkan harga muktamad kecuali anggaran IDR 2,000,000,000 (RM589,304) yang jelas lebih tinggi berbanding Supra di beberapa buah negara lain.

Di Jepun harga permulaan Supra 3.0 ialah JPY 6,900,000 (RM263,355), Australia AUD84,900 (RM245,912) manakala di Filipina PHP 4,990,000 (RM401,902).

Bagaimana pula dengan Toyota Supra di pasaran Malaysia kelak? Kami belum pasti namun anggaran harga di antara RM400,000 (Filipina) hingga RM600,000 (Indonesia) nampak munasabah.

Adakah julat tersebut tinggi? Pada kami tidak dan ia sebenarnya berada di dalam lingkungan harga unit recond Nissan GT-R tahun 2017 dan unit baharu Ford Mustang 5.0L GT V8 .

Untuk satu lagi perbandingan, BMW Z4 sDrive 30i (2.0L Turbo) yang dilancarkan di pasaran tempatan pada 28 Jun 2019 lalu berharga RM456,800.

Apa pun kita nantikan pelancaran Toyota Supra baharu bila tiba masanya nanti.

*Foto: Model global Toyota Supra

Google ads
Back to top button