;
Artikel Pilihan

EVOLUSI HONDA CITY

Honda City dengan saiz yang kompak cukup sesuai digunakan di dalam kesibukan bandar. Namun tahukah anda sebenarnya Honda City generasi pertama bersaiz lebih kecil daripada yang dapat anda lihat sekarang?

Generasi pertama Honda City merupakan kereta bersaiz sub-kompak dan bukannya kompak seperti generasi terkini. Ia dihasilkan khusus untuk pasaran Jepun, Eropah dan Australasia.

Pada peringkat awal ia tidak diedarkan secara rasmi di Malaysia. Jika ada pun ia dibawa masuk oleh pengedar tidak rasmi dan secara individu. Kini, Honda City merupakan salah sebuah kereta yang dihasilkan berdasarkan platform Honda’s Global Small Car.

Jutaan unit telah dijual di seluruh dunia dan menjelang generasi kelima, ia telah dinaik taraf menjadi model kompak. City dikenali dengan pelbagai nama contohnya Honda Grace di Jepun, Honda Ballade di Afrika Selatan dan Honda Greiz di China.

Generasi Pertama (1981-1986)

Ia dikenali dengan nama Honda City AA/FV/FA. (AA bermaksud sedan, VF bermaksud van dan FA pula ialah untuk versi Turbo II dan Cabriolet).

Ia mula diperkenalkan pada tahun 1981 sekitar November dengan konsep “Tallboy”. Itulah konsep yang membolehkan empat orang dewasa dimuatkan dengan selesa di dalam sebuah kereta yang cukup kecil ini.

Ia dihasilkan dengan versi hatchback 3-pintu dan boleh didapati sekali dengan Motocompo, sebuah skuter istimewa boleh lipat berkuasa 50cc yang dimuatkan di dalam ruang kargo Honda City.

Setahun kemudian model City Turbo diperkenalkan, diikuti model Cabriolet yang diberi sentuhan Pininfarina lengkap dengan fender dan bumper yang lebih lebar. Sebahagian besar dieksport ke Eropah tetapi dengan nama Jazz kerana Opel juga mempunyai model dengan nama yang sama di sana.

Generasi Kedua (1986-1994)

Honda menggantikan City generasi pertama dengan generasi kedua yang dinamakan GA1 pada tahun 1986 dan kemudian dinaik taraf kepada GA2 pada tahun 1989.

Ia juga merupakan model hatchback 3-pintu dan ditawarkan dengan tiga pilihan enjin 1.2L, 1.3L karburator dan 1.3L PGM-FI (suntikan bahan api). Generasi kedua Honda City ini bagaimanapun dipencenkan oleh Honda pada tahun 1993 dan digantikan dengan nama Honda Logo (3-pintu) dan Honda Capa (5-pintu).

Generasi Ketiga (1996-2002)

Honda City generasi ketiga telah dibawa masuk ke pasaran Malaysia secara rasmi. Berbeza dengan sebelum ini, ia ditawarkan dengan rekaan badan sedan 4-pintu. Ia diberikan kod nama SX8 dan diasaskan daripada platform Honda Civic EF.

Direka khusus untuk pasaran Asia Tenggara sahaja dan memulakan pengeluaran di kilang pembuatan Honda terbaru di Ayutthaya, Thailand pada bulan April 1996.

Model ini juga dijual di pasaran Jepun bersama-sama dengan Honda Domani pada ketika itu.

Pada tahun 2000, Honda telah memperkenalkan model facelift City yang dinamakan “City Type Z”. Ia juga dikuasakan oleh enjin 1.5L VTEC selain dilengkapi dengan bar penstabil belakang untuk membantu dari aspek kawalan.

Ketika ini ia masih merupakan model sub-kompak di belakang Honda Civic yang dikategorikan sebagai kompak.

Generasi Keempat (2002-2008) 

City generasi keempat mula diperkenalkan di Thailand International Motor Expo 2002. Ia mulanya diperkenalkan dengan menggunakan enjin i-DSI yang memberikan penjimatan bahan api cukup baik.

Versi VTEC pula diperkenalkan pada tahun 2004. Versi VTEC menggunakan rim aloi bersaiz 15 inci dengan brek cakera belakang dan dipadankan bersama transmisi 7-kelajuan CVT Multimatic.

Versi facelift pula diperkenalkan di Malaysia sekitar bulan Oktober 2005 dengan beberapa perubahan khususnya pada lampu hadapan, belakang dan lampu kabus.

Selain itu, bahagian hadapan telah dipanjangkan sebanyak 65 mm dan bahagian belakang ditambah sebanyak 15 mm. Ia juga menggunakan transmisi automatik 7-kelajuan CVT dengan Tiptronic.

Generasi Kelima (2008-2013)

Generasi kelima Honda City diperkenalkan kepada dunia di Bangkok, Thailand pada Oktober 2008 dan memasuki pasaran Malaysia sebulan selepas itu.

Kini Honda City juga telah dinaik taraf kepada model bersaiz kompak. Ia ditawarkan dengan beberapa pilihan enjin tetapi untuk Malaysia hanya ditawarkan dengan enjin 1.5L yang mampu menghasilkan  120hp.

Untuk pasaran Asia ia ditawarkan dengan 3 pilihan kemasan yang dinamakan S, V dan SV.

Pada September 2011, Honda Automobile (Thailand) telah memperkenalkan model facelift Honda City dengan rekaan hadapan dan belakang yang baru.

Ia juga dibekalkan dengan rim sport terbaru, penunjuk tahap ekonomi pemanduan dan beg udara berkembar untuk semua model.

Ini juga merupakan Honda City pertama yang dipasarkan di negara-negara Amerika Latin seperti Brazil, Argentina dan Mexico.

Generasi Keenam (2013-Kini)

Generasi keenam Honda City merupakan model kedua Honda yang mengetengahkan tema rekaan “Exciting H” Honda yang mula diperkenalkan pada model Jazz/Fit pada September 2013.

Model terkini itu kelihatan lebih premium berbanding sebelumnya dan dilengkapi dengan pelbagai aksesori mewah seperti sistem kawalan penyaman udara sesentuh, corong penyaman udara belakang, paparan audio 7 inci (pre-facelift 2014), Bluetooth, kamera undur dan sebagainya.

Ketinggian badannya telah meningkat sebanyak  100 mm tetapi dimensi keseluruhan masih dikekalkan.

Untuk pasaran Malaysia, ia dilengkapi sistem kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, sistem cruise control, tempat duduk pemandu yang boleh dilaras ketinggian dan tempat duduk belakang yang boleh dilipat (60:40) untuk ruang bagasi yang luas.

Malah kini walaupun model face-lift generasi keenam telah diperkenalkan selama  hampir 3 tahun (Mac 2017), ia masih kekal sebagai model kereta bukan nasional nombor satu di Malaysia.

Ia merupakan model paling laris Honda dan merupakan peneraju segmen-B yang memang sengit dengan pelbagai model-model popular ditawarkan.

Honda City terbaru dikuasakan enjin 1.5L i-VTEC Honda yang digabungkan dengan sistem transmisi CVT Honda’s Earth Dreams Technology.

Keseronokkan pemanduan semakin bertambah dengan sistem paddle shift yang cukup responsif selain gabungan prestasi dan penjimatan bahan api.

Untuk keselamatan pula, Honda City dilengkapi 6 beg udara di sekeliling bahagian badan bagi melindungi pemandu dan penumpang. Sistem keselamatan aktif standard yang ada padanya termasuklah sistem ABS, Brake Assist (BA), Vehicle Stability Assist (VSA), Hill Start Assist (HSA) dan Emergency Stop Signal (ESS).

Macam mana nak bezakan Honda City terbaru dan model sebelumnya? Mudah sahaja, ia kini dilengkapi dengan lampu utama LED gabungan sistem Daytime Running Light (DRL) LED dan lampu kabus hadapan juga jenis LED.  

Tags
Google ads
Back to top button