
LAMBORGHINI DIABLO VT ROADSTER MILIK DONALD TRUMP UNTUK DILELONG – ADA KE YANG NAK BELI?
Sebuah Lamborghini Diablo VT Roadster yang pernah menjadi milik bekas presiden AS, Donald Trump bakal dilelong hujung bulan ini di Arizona oleh Barret-Jackson. Walaupun namanya jualan lelong tapi ini bukan kereta tarik sebab tak bayar bulan-bulan okey.

Diablo merupakan antara Lamborghini yang mempunyai rekaan paling menonjol. Ia merupakan lambing kemewahan sebenar satu ketika dahulu ketika founder-founder kosmetik timbang kilo masih belum wujud lagi di dunia ini. Model VT Roadster merupakan idaman ramai ketika itu.
Dekad 90 an menyaksikan Trump dikenali ramai sebagai hartawan yang memiliki hubungan rapat dengan Lamborghini sehingga Lamborghini sentiasa meminjamkan supercar mereka kepada Trump untuk tujuan promosi. Sebagai balasan Trump diberikan kelebihan untuk mencorakkan sendiri Lamborghini Diablo beliau pada tahun 1997. Hasilnya ialah Lamborghini Diablo VT Roadster yang berwarna Blu Le Mans ini. Ya, tidak ada Diablo lain yang berwarna seperti ini di atas dunia ni.

Walaupun nampak menarik tapi ada jugalah yang tak bestnya. Terdapat plak khas pada bahagian pintu yang tercatat “Donald Trump 1997 Diablo”. Haram tak best ada nama Trump kat situ. Dah la dia bukannya personaliti motorsport ataupun jejaka idaman macam Abang Japar. Tapi peminat fanatic beliau mungkin bangga la kot kalau dapat kereta ni.
Bahagian dalaman menyaksikan kemasan warna krim dengan kulit hitam yang merupakan ciri kemewahan tahun 90 an. Tak banyak elemen keselesaan kecuali penyaman udara dan pemain audio moden. Namun kena ingat, Diablo bukannya tentang kesempurnaan tapi lebih kepada kelajuan dan kuasa. Nak selesa baik beli Rolls-Royce. Kalau mampu la.
Motivasi pemanduan datangnya dari enjin NA 5.7 liter V12 yang mampu menghamburkan 492 hp kuasa dan tork 583 Nm yang dihantar kepada kesemua roda. Siapa perlukan muzik lagi kalau dah pandu Diablo.

Berbeza dari Lamborghini moden seperti Revuelto dan Huracan, Diablo VT dilengkapi dengan sistem transmisi manual 5-kelajuan. Jangan ingat ini sama dengan kereta Wira emak anda walaupun sama-sama pakai gear manual 5-kelajuan. Lambo ini mampu membuat pecutan 0-100 kmj hanya dalam masa 4.1 saat dan ianya berterusan sehingga kelajuan maksima 325 kmj.
Jadi kalau nak rasa bagaimana memandu sebuah Lamborghini ikonik dari zaman kanak-kanak korang inilah masanya yang sesuai (kalau ada bajet la). Kalau tak mampu beli kita tengok je.


