Motosikal

MICHELIN PATENKAN SISTEM MOTOR TAMBAHAN, BANTU PENUNGGANG UNDUR MOTOSIKAL DENGAN MUDAH

Michelin baru-baru ini memfailkan paten untuk satu motor elektrik pada fender belakang yang berfungsi sebagai sistem pendorong tambahan.

Motor elektrik berkenaan dipasang pada fender tergantung di lengan ayun. Motor tambahan itu akan memberi kuasa cengkaman pada kelajuan rendah atau ketika hendak mengundur.  

Komponen itu dikatakan boleh membantu penunggang motosikal apabila hendak keluar dari ruang yang sempit, ketika minyak habis atau membawa jentera menaiki lori.

Rekaan ringkas tersebut memberi kelebihan kerana ia boleh dipasang pada mana-mana lengan ayun konvensional. Pengeluar tayar itu juga boleh memasarkannya sebagai satu kit aksesori untuk pelbagai jenis motosikal.   

Cara kit itu berfungsi sebenarnya agak mudah. Secara asasnya, Michelin menggunakan roller untuk menggerakkan tayar belakang. Motor elektrik kemudian menggerakkan roller dan menekan tayar belakang. Jadi tayar akan bergerak ke hadapan atau belakang disebabkan oleh geseran tersebut.

Sistem itu boleh diaktif menggunakan butang pada bar hendal. Jadi, penunggang boleh mengawalnya dengan mudah.

Motor elektrik berkenaan menggunakan sistem 3.6V DC yang mampu menghasilkan kuasa tork sekitar 2 hingga 4Nm. Ini sudah cukup untuk memacu motor itu pada kelajuan 1km/j dan menggerakkan motosikal yang berat.

Motor elektrik atau dinamo itu dikuasakan oleh bateri  2Ah lithium-ion yang boleh dicaj semula berkapasiti 3.6V dan dipasang pada fender.

Apa yang pasti, rekaan ini sangat berguna kepada penunggang berketinggian sederhana. Mereka biasanya berdepan kesukaran untuk menggerakkan motosikal ketika hendak masuk atau keluar dari ruang parkir.

Bijak, bijak…

Google ads
Back to top button