Artikel Pilihan

TUMPAHAN ATAS TEMPAT DUDUK BELAKANG AKIBATKAN BEBERAPA MODEL AUDI KEHILANGAN KUASA – MINUM AIR KOTAK JE OKEY KOT

Audi telah memanggil balik hampir 50,000 unit kereta keluaran mereka akibat isu kehilangan kuasa akibat tumpahan cecair di atas tempat duduk belakang. Laporan dari laman web Carscoops menyatakan model terlibat ialah Audi A6, A7, S6, RS6 dan RS7 yang dikeluarkan dari tahun 2018 ke 2022.

Tumpahan cecair di atas tempat duduk belakang akan menitis ke atas modul gateway yang berada di bawahnya. Ia akan menjejaskan sistem elektronik dan mengaktifkan sistem kecemasan yang akan mengurangkan kuasa enjin kenderaan. Kawalan stereng dan brek tidak akan terjejas tetapi bayangkan jika ia berlaku ketika anda sedang memecut di tengah-tengah lebuh raya dalam usaha mencari tandas selepas pekena kari mamak. Bahaya tu.

46 kes melibatkan isu ini telah diterima Audi tapi syukurlah ia tidak mengakibatkan sebarang kecederaan ataupun kemalangan.

Masalah ini mula dikesan pada model Audi Q5 dan SQ5 yang dipanggil kembali akibat masalah serupa tahun lepas. Cecair tumpahan didapati telah meresap memasuki modul gateway melalui celahan tempat duduk. Benda kecil je tapi akibatnya besar.

Penyelesaiannya ialah dengan memasang lapisan perlindungan di atas modul gateway yang akan melindunginya dari tumpahan di masa akan datang. Pelindung ini mula dipasang pada semua model baharu selepas 4 April 2022. Pemilik model sebelumnya yang terlibat akan dihubungi untuk pemasangan pelindung ini bermula 20 Januari 2023.

Tumpahan di bahagian belakang ni memang tak boleh elak sebenarnya untuk mereka yang berkeluarga. Anak-anak faham sendirilah, masa atas keretalah dia nak minum air kotak, teh boba, susu kambing, susu unta dan macam-macam lagi. Tapi mak bapaknya pun sama naik je kadang-kadang. Nak tayang gelas stabak la, kapucino la. Haih macam-macam.

Tapi ini satu pengajaran untuk jurutera supaya lain jangan lupa sertakan sekali rekaan pelindung untuk komponen-komponen sensitif macam ni.

Google ads
Back to top button