Buletin

UMW TOYOTA AKAN LANCAR YARIS BULAN DEPAN

Pihak media baru sahaja menerima jemputan pelancaran model baru Toyota Yaris bertarikh 18 April depan.

Akhirnya, pembeli tempatan sudah dapat pilihan jenama Jepun untuk kereta kompak segmen B di Malaysia.

Selain Myvi, Hatchback bagi segmen B negara kita telah lama didominasi oleh Honda Jazz. Jazz tiada pesaing terus untuk jenama Jepun kecuali pernah dicabar Swift sewaktu DRB-HICOM menjadi pengedar jenama Suzuki tak lama dahulu.

Namun selepas ketiadaan Swift, Jazz benar-benar “bermaharajalela” tanpa digugat oleh pesaing Jepunnya yang lain. Meskipun segmen ini agak “kecil” namun bayangkan berniaga tanpa pesaing, Jazz menguasai jualan dan terus menerus mendapat sambutan setiap kali model baru atau facelift diperkenalkan.

Tak lama lagi, Jazz bakal berdepan dengan seteru sebenarnya – Yaris dari Toyota. Pelancaran ini serentak dengan pengumuman yang dibuat pada majlis bersama media bulan lepas di mana UMW Toyota mengumumkan untuk membawa masuk Yaris pada tahun ini.

Ia seiring dengan Toyota Supra yang juga akan diperkenalkan pada tahun ini juga.

Besar kemungkinan kita menerima spesifikasi mirip pasaran Indonesia. Yaris dikuasakan oleh enjin 2NR-FE empat silinder dengan teknologi Dual VVT-i.

Enjin yang turut digunakan pada Vios dan Perodua Myvi itu mampu menjana kuasa sehingga 107PS dan tork 140Nm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan atau CVT.

Harga? Inilah kelemahan sebenarnya di pihak UMW Toyota. Jika melihat pada produk-produk saingan mereka, Toyota lazimnya lebih premium berbanding Honda.

Tidak pasti berapa harga jualan Yaris nanti namun di pasaran yang sangat kompetitif, UMWT akan memposisikan harga Yaris dengan betul supaya ia kekal sebagai pesaing Jazz.

Kalau tidak, jadi macam HR-V vs C-HR. Jauh sangat bezanya waluapun dalam kategori yang sama.

GALERI

Google ads
Back to top button