Buletin

UMW TOYOTA LABUR RM270 JUTA DI MALAYSIA. KELUARKAN PRODUKSI KENDERAAN HIBRID ELEKTRIK

UMW Toyota Motor mengumumkan rancangan melabur sebanyak RM270 juta lagi di Malaysia untuk memperluaskan operasi dan kemudahan pengeluaran sedia ada, termasuk pengenalan generasi kenderaan teknologi termaju bagi HEV.

Pelaburan baharu itu adalah tambahan kepada pelaburan terdahulu bernilai RM2 bilion digunakan untuk pembinaan kilang di Bukit Raja malah dianggap sebagai sebuah kilang Toyota paling moden dan termaju serta cekap di Asia,

Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama berkata, pihaknya bersedia dengan pengenalan barisan kenderaan HEV dan teknologi berkaitan, sokongan servis, prasarana semasa, dasar global dan domestik, tahap mampu milik dan keberkesanan kos serta kesedaran dan permintaan pelanggan.

“Malaysia kini berada di tahap paling ideal untuk membolehkan kami meneruskan perjalanan baru yang menarik ke arah mencapai neutraliti karbon ini.

“Buat masa ini, HEV Toyota sedang berada pada tahap paling maju  dan mempersembahkan dirinya sebagai penyelesaian paling realistik, segera, ekonomikal dan praktikal bagi pengeluaran pasaran serta jualan massa dari segi pengurangan pembebasan CO2, kemudahan penggunaan dan penerima harga oleh pelanggan,” katanya.

Takeyama berkata, kajian menunjukkan bahawa pengurangan pembebasan CO2 antara kenderaan hibrid penuh dan HEV adalah hampir sama, mengambil kira sumber elektrik serta aspek yang bermula dari pengeluaran hinggalah kepada pemilikannya.

 “Bagi pembeli di Malaysia, pengeluaran tempatan HEV Toyota akan diterjemahkan ke dalam peralihan era baru permotoran, yang menyediakan capaian kepada teknologi terkini dan paling inovatif, pada tahap harga praktikal dan berpatutan kepada khalayak yang lebih meluas.

“HEV merupakan jambatan penting untuk mencapai tahap kenderaan elektrik sepenuhnya. Setakat ini, teknologi bateri-elektrik masih memerlukan masa untuk pembangunan teknologi penuh, menjadikan teknologi hibrid elektrik pilihan paling sesuai untuk pelaksanaan segera.

“Dengan masa masih diperlukan untuk elektrifikasi penuh, teknologi HEV sudah bersedia ketika ini dan prasarana sedia ada juga membolehkannya untuk digerakkan dalam skala yang lebih besar,” jelas beliau.

Takeyama berkata, arah tuju global Toyota adalah untuk mencapai neutraliti karbon menjelang tahun 2050, yang juga selari dengan aspirasi kerajaan Malaysia untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara progresif yang mempromosi lebih banyak teknologi hijau dan alam sekitar yang mapan.

Katanya, ini adalah waktu yang menarik bagi industri automotif Malaysia dan UMW Toyota Motor bersedia untuk menjadi pelopor kepada impian ini.

“Untuk mencapainya dengan penyelesaian paling realistik, praktikal dan segera adalah melalui teknologi dan kenderaan hibrid elektrik Toyota.

“Pengeluaran massa dan penerimaan yang semakin berkembang terhadap kenderaan hibrid elektrik akan membawa kepada perubahan ekosistem keseluruhan automotif bagi memupuk kesedaran bersama dan bergerak ke arah mengurangkan jejak karbon di Malaysia,” katanya.

Toyota adalah pelopor utama teknologi kenderaan hibrid elektrik dan telah memajukan lagi teknologi berkenaan dalam tempoh 20 tahun terakhir ini.

Setakat hari ini, Toyota telah menjual sebanyak 17 juta HEV; kenderaan hibrid elektrik plug in (PHEV); kenderaan bateri elektrik (BEV) serta kenderaan elektrik fuel cell hidrogen (FCEV) di seluruh dunia.

Sumbangan terkumpul Toyota untuk pengurangan CO2 adalah bersamaan dengan 17 juta kenderaan yang membawa kepada pengurangan 140 juta CO2 atau sekitar 1.5 juta kenderaan penumpang konvensional setahun bagi tempoh 20 tahun.

Google ads
Back to top button