Buletin

TOYOTA LABUR RM14 BILION BANGUN BATERI DI AMERIKA

Pengeluar kenderaan Jepun, Toyota akan melabur sebanyak AS$3.4 bilion (RM14.13 bilion) dalam pembangunan bateri kenderaan di Amerika Syarikat (AS) sehingga tahun 2030.

Dana pelaburan berkenaan akan digunakan untuk pembangunan bateri kenderaan elektrik khususnya bateri kenderaan hibrid.

Ia merupakan sebahagian daripada perbelanjaan AS$13.5 bilion (RM56.10 bilion) yang diumumkan pengeluar kenderaan terbabit pada awal tahun ini untuk mencapai bajet pembangunan bateri global Toyota.

Sebahagian daripada jumlah AS$3.4 bilion (RM14.13 bilion) yang dilabur di AS akan digunakan untuk membentuk sebuah syarikat baharu bertanggungjawab membina fasiliti bateri automotif dengan bantuan daripada Toyota Tsusho.

Sasaran produksi dijangka bermula pada tahun 2025 dan dianggarkan memerlukan kira-kira 1,750 tenaga pekerja.

Pelaburan berkenaan turut akan membantu pembangunan Toyota dan mengembangkan rantaian bekalan tempatan serta pengetahuan berhubung bateri litium-ion.

“Toyota sangat komited dalam mencapai kelestarian jangka panjang untuk alam sekitar, pekerjaan di AS dan para pengguna,” kata CEO Toyota Amerika Utara, Ted Ogawa. – carscoops

Google ads
Back to top button