
SYM CRUISYM 400 LANCAR DI MALAYSIA SEPTEMBER INI – 34HP, 39.5NM
MForce Bike Holdings akan memperkembang tawaran motosikal SYM di Malaysia kali ini menerusi skuter maxi SYM Cruisym 400 serba baharu.
Selepas mencuri tumpuan dengan pelancaran SYM ADXTG400, kami difahamkan MForce bakal menambah kerancakan segmen skuter di Malaysia dengan Cruisym 400. Beberapa pengedar rasmi MForce juga telah mengiklankan skuter berkenaan di platform media sosial.
Menariknya, kami difahamkan Cruisym 400 ini bakal ditawarkan dengan harga bawah RM29k.

Untuk rekod, Cruisym 400 merupakan model serba baharu yang membuat debut sulung di EICMA 2024, tahun lalu.
Atas kertas, Cruisym 400 berkongsi platform sama dengan Maxsym GT 400. Hasilnya, enjin tersebut berupaya menjana 34hp pada 6,750rpm dan 39.5Nm pada 5,250rpm. Kuasa pula disalurkan menerusi transmisi CVT.

SYM mendakwa skuter berkenaan mampu mencapai kelajuan lebih 140km/j. Sebagai sebuah skuter maxi, Cruisym 400 hadir dengan tangki 13L dan mampu merekodkan perjalanan sehingga 371km/j.
Antara perincian lain ditawarkan termasuk pencahayaan LED penuh, skrin TFT 7-inci dengan fungsi ‘screen mirroring’dan ‘turn-by-turn navigation’. Turut melengkapi adalah fungsi dashcam yang menawarkan rakaman depan dan belakang selain ABS dan traction control.

Selain itu, turut ditawarkan termasuk penghadang angin boleh laras secara manual, storan bawah tempat duduk berkapasiti 42L yang boleh memuatkan dua helmet, TPMS, USB Type-C dan QC 3.0.
Menurut SYM, Cruisym 400 ini lebih premium berbanding Maxsym 400 dengan reka bentuk lebih sporty namun lebih rendah dengan ketinggian tempat duduk diletakkan pada 780mm berbanding 800mm pada Maxsym.
GALERI: SYM CRUISYM 400

















