
Di California, Amerika Syarikat, undang-undang menunggang di celah-celah kenderaan yang sedang bergerak telah diluluskan oleh penggubal peraturan di sana. Mencelah atau mencilok telah menjadi isu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ia tidak tertakluk dalam mana-mana undang sedia ada dan kabur, justeru orang awam sering melihat ia sebagai perbuatan yang dibenarkan. Padahal, ia bukanlah perbuatan yang sah. Malah pihak berkuasa tempatan juga sering mengeluarkan kompaun kepada penunggang motor yang dianggap melakukan kesalahan.
Rang undang-undang yang dikenali dengan kod AB51 itu didakwa hanya menunggu tandatangan pengesahan dari gabenor California, Jerry Brown.
Undang-undang ini dijelaskan dengan terperinci. California Highway Patrol telah mencadangkan beberapa garis panduan. Penunggang tidak boleh melebihi had kelajuan 24km/j (15mph) dari kenderaan yang dipintas. Contohnya, jika kenderaan di kiri dan kanan berkelajuan 50km, penunggang mesti mencelah tetapi tak boleh melebihi had laju 74km/j.
Kelajuan maksimum juga diletakkan pada had 80km/j (50mph). Secara teknikalnya, jika kenderaan di kiri dan kanan berkelajuan 80km/j, penunggang tak boleh mencelah walaupun had kelajuan di jalan tersebut lebih tinggi.
Ia dilihat sebagai langkah positif kerana ramai berpendapat, undang-undang baru ini akan menjadikan trafik lebih lancar. California merupakan negeri pertama di Amerika Syarikat yang meluluskan undang-undang ini.
Beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa negeri di sana yang cuba membahaskannya tetapi gagal mendapat persetujuan seperti yang berlaku di dewan senat Texas dan Nevada (mungkin semua ahli dewan dia orang tua tak pernah bawak motor).