Buletin

UNDIAN NAMA SUV PROTON DAPAT SAMBUTAN MENGGALAKKAN – TINGGAL 20 HARI LAGI!

Undian dalam talian yang dilancarkan oleh PROTON di laman Facebook yang menjemput orang ramai untuk mengundi nama SUV pertamanya itu telah menarik maklum balas yang memberangsangkan dalam tempoh 9 hari pertama.

Pada Rabu, 11 April, lebih daripada 69,000 pengguna Facebook telah mengambil peluang dalam undian ini manakala video yang dikongsikan bersama undian itu telah mendapat lebih daripada 165,000 tontonan.

BACA: TEKA NAMA SUV PROTON DAN MENANGI HADIAH LUMAYAN!

Seramai lebih 1,000 pengguna turut berkongsi mengenai undian tersebut melalui halaman Facebook mereka, yang secara tidak langsung mendorong kepada peningkatan jumlah undian.

“SUV baharu ini merupakan titik tolak yang bermakna bagi PROTON dan oleh itu kami mahu berkongsi dengan rakyat Malaysia kerana ia juga merupakan simbol pencapaian untuk negara. Kami tidak menjangkakan jumlah penyertaan sebanyak ini dalam jangka masa yang singkat dan amat terharu dengan perhatian yang ditunjukkan kepada SUV segmen premium pertama yang dihasilkan oleh jenama automotif Malaysia,” kata Abdul Rashid Musa, Naib Presiden, Jualan dan Pemasaran PROTON.

Sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang turut serta dalam undian ini, baucar hadiah bernilai RM100,000 akan dibahagikan kepada para peserta. Lima pemenang juga akan dipilih berdasarkan makna terbaik yang diberikan di sebalik nama yang mereka undi dan pakej hadiah yang bakal diterima terdiri daripada pengalaman bernilai seperti undangan ekslusif VIP pada majlis pelancaran serta diberi penghormatan untuk menjadi antara orang pertama memandu uji dan melihat sendiri teknologi dan ciri-ciri terkini yang terdapat pada SUV tersebut di litar ujian PROTON di Shah Alam.

Selain itu, orang ramai turut diberi pilihan untuk mencadangkan nama lain bagi SUV tersebut. Sekiranya nama yang mereka berikan terpilih, seorang pemenang bertuah akan menerima hadiah pakej pelancongan selama 4 hari 3 malam ke Hangzhou dan Shanghai bagi 2 orang termasuk lawatan ke ibu pejabat Geely.

“Oleh kerana tarikh pelancaran rasmi SUV ini semakin dekat, PROTON akan menjalankan lebih banyak aktiviti pengenalan produk untuk membina kesedaran dan keterujaan di kalangan rakyat Malaysia. Seperti yang telah kami kongsikan sedikit pada video promosi pertandingan ini, SUV ini akan dilengkapi ciri-ciri berteknologi canggih seperti pengenalan suara pintar, kamera 3D 360o dan pelbagai ciri keselamatan canggih yang lain seperti kawalan pelayaran adaptif, brek bantuan kecemasan automatik serta pelbagai lagi.

Produk pertama yang dibangunkan bersama dengan rakan niaga kami, Geely akan menjadi titik permulaan bagi barisan model baharu untuk Syarikat, justeru kami ingin menyeru orang ramai untuk menilai sendiri apa yang mereka boleh lihat tentang masa hadapan PROTON,” tambah Rashid.

Tarikh tutup undian ini adalah pada 30 April 2018 jam 11.59 malam dan nama pemenang akan diumumkan sebelum tarikh pelancaran SUV pertama tersebut.

Google ads
Back to top button