
DIDI RESOURCES DILANTIK SEBAGAI PENGEDAR RASMI VESPA & PIAGGIO
Piaggio Group hari ini mengumumkan pelantikan Didi Resources Sdn. Bhd. (Didi Resources) sebagai pengedar rasmi skuter premium Piaggio dan Vespa di Malaysia.
Dengan pelantikan ini, Didi Resources akan mengambil tanggungjawab pengedaran skuter tersebut daripada pengedar sebelum ini, Naza Premira Sdn. Bhd. (Naza Premira).
“Pelantikan Didi Resources merupakan sebahagian daripada strategi perniagaan Piaggio untuk menggabungkan jenama Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi di bawah satu entiti.

“Ia bagi memaksimumkan kecekapan dalam semua aspek perniagaan dan mengukuhkan komitmen kami terhadap pelanggan di sini,” kata Pengerusi dan Pengarah Piaggio Vietnam yang juga Naib Presiden Eksekutif Asia Pacific 2 Wheeler, Gianluca Fiume.
Pelantikan rasmi Didi Resources sebagai pengimport dan pengedar tunggal skuter Piaggio dan Vespa berkuatkuasa pada 1 Januari 2020.
“Dengan pemerolehan ini, kami boleh menguruskan jenama Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi di Malaysia di bawah satu bumbung menerusi konsep Motoplex di Malaysia.
“Kami memang komited untuk mengukuhkan jenama dengan meningkatkan usaha pemasaran dan komunikasi. Selain menawarkan sokongan selepas jualan yang terbaik,” jelas Pengerusi Didi Resources, Rewi Hamid Bugo
Pelan pembinaan Motoplex sedang berlangsung sekarang dan pelancarannya dijadual pada awal tahun 2020.
Mula dilancarkan pada tahun 2015, 500 buah Motoplex telah dibuka di seluruh dunia melibatkan benua Eropah, Amerika, Ocenia Asia dan India.