Buletin

EV? JANGAN GHAIRAH SANGAT, PERLAHAN TAPI PASTI – CEO MAZDA

Tiada kata terlambat untuk Mazda terus bersaing dalam segmen EV dan jenama asal Jepun itu sedia untuk melancarkan model elektrik baharu.

Tetapi sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mazda, Masahiro Moro tidak mahu terlalu ghairah dalam perlumbaan menghasilkan kenderaan elektrik.

“Salah satu isu besar bagi kami ialah permintaan tidak menentu. Dalam pasaran semasa, realiti untuk elektrifikasi, khususnya untuk EV bateri, kadarnya tidak begitu tinggi,” katanya.

“Jadi, kami mungkin bermula sedikit perlahan. Tidak semestinya dari segi masa tetapi peningkatan.”

Kereta elektrik Mazda terdiri daripada hibrid plug-in MX-30 serta CX-90 dan di pasaran, ia bukanlah model menjadi pilihan utama pelanggan.

Walaupun EV membentuk kurang daripada 1 peratus daripada jualan global Mazda tahun ini,  syarikat itu menjangkakan peningkatan 25 peratus hingga 40 peratus menjelang 2030.

“Antara sekarang dan 2030 adalah fajar elektrifikasi – kita perlu mengharungi perjalanan yang sukar ini. Kita hanya perlu menangani keperluan dan kehendak pengguna,” jelasnya lagi.

Menurutnya, sekarang ini, pelanggan sedang mencari penyelesaian alternatif – selain daripada EV bateri.

Inilah sebab mengapa Toyota dan BMW sedang menyelidik sumber tenaga alternatif, seperti hidrogen.

“Apabila semua orang bercakap tentang elektrifikasi, mereka bercakap tentang teknologi dan pengeluaran. Bagi saya, penting untuk bercakap tentang strategi perniagaan, kewangan, dan kerjasama dengan pembekal dan OEM lain.

“Kita perlu menilai keseluruhan perniagaan. Itulah tujuannya. Kami meletakkan semuanya bersama-sama,” Tambah Moro.

Menariknya, Mazda sedang membangunkan dua platform EV di mana salah satunya adalah platform kenderaan elektrik khusus, manakala satu lagi berdasarkan reka bentuk sedia ada.

Selain itu, Mazda juga akan bekerjasama dengan Toyota untuk menjimatkan wang dengan meminjam persediaan elektrik dan perisian EV masa depan.

Google ads
Back to top button