Buletin

PEMANDU UBER UK DAPAT STATUS PEKERJA BUKAN LAGI KONTRAKTOR BEBAS

Gergasi e-hailing, UBER mengklasifikasikan semula kira-kira 70,000 pemandu di United Kingdom (UK) selepas Mahkamah Agung UK mengesahkan keputusan bulan lalu bahawa mereka perlu diklasifikasikan sebagai pekerja dan bukan kontraktor bebas.

Menurut syarikat itu, para pemandu tersebut akan menerima gaji minimum, waktu bercuti dan pencen selepas mendapat status sebagai pekerja.

UBER menjelaskan gaji minimum itu berdasarkan kepada waktu perjalanan diterima dan selepas menolak perbelanjaan.

Pada bulan lalu, mahkamah memutuskan bahawa para pemandu bekerja ketika mereka menghidupkan aplikasi UBER dan bukan hanya ketika mengambil penumpang seperti dikatakan syarikat terbabit.

Ia adalah perubahan besar untuk model perniagaan syarikat itu yang sebelum ini berhujah di Mahkamah Agung UK, bahawa pemandunya merupakan kontraktor bebas.

“Bermula pada hari Rabu, lebih daripada 70,000 pemandu di United Kingdom akan dilayan seperti pekerja, dengan meraih sekurang-kurangnya pendapatan minimum kebangsaan apabila menjadi pemandu Uber,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan. – agensi

Google ads
Back to top button