
VW DEDAH ID.2ALL EV VERSI KONSEP – MOTOR ELEKTRIK TUNGGAL, 223HP, LAGI POWER DARIPADA GTI
Volkswagen baru-baru ini mendedahkan bahawa ia bakal menghasilkan hot hatch elektrik sepenuhnya, ID.2all pada 2025.
Menurut Ahli Lembaga VW untuk Pembangunan Teknikal, Kai Grünitz, Volkswagen sudah pun membangunkan ID.2all versi sporty.
Model itu akan mengekalkan susun atur pacuan roda hadapan dan bukannya sistem pacuan semua roda dwi-motor.

Grünitz memberitahu dia mempunyai ‘nombor dalam fikiran untuk angka kuasa’, namun akan mendedahkannya pada masa hadapan.
Sewaktu pelancaran ID.2all versi konsep, jentera berkenaan dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang menghasilkan 223hp, lebih berkuasa berbanding Polo GTI versi ICE. Maka, hot hatch EV itu pastinya lebih pantas berbanding Golf GTI kerana ID.2all memerlukan hanya 7 saat untuk pecutan dari 0-100km/j.
Volkswagen kini menggunakan nama GTX untuk trim ID, sementara GTI hanya digunakan pada model berkuasa enjin konvensional.
Namun, perkara ini boleh berubah pada masa hadapan kerana dikhabarkan model-model lain bakal berada di bawah payung GTI.
Grünitz bagaimanapun tidak memberikan jawapan positif kepada soalan itu, “Sama ada ia akan menjadi GTI atau GTX atau apa sahaja, tunggu dan lihat.”
VW juga mempunyai sub-jenama R yang akan fokus kepada pengeluaran EV sepenuhnya menjelang 2030. Tetapi kemungkinan besar ia akan dikhaskan untuk jentera pacuan semua roda yang sangat berkuasa.