Buletin

VOLKSWAGEN BAKAL LANCAR GOLF R 333 LIMITED EDITION – 328HP, HARGA RM375K, 333 UNIT SAHAJA

Terlepas untuk membeli Volkswagen Golf R 20 Years Edition tahun lepas? Jangan risau kerana Volkswagen sekali lagi sedia memberikan keterujaan kepada peminatnya apabila mendedahkan model Golf R 333.

Sesuai dengan namanya, model pacuan semua roda ini dikuasakan oleh enjin 2.0 TSI, menghasilkan 333ps atau 328hp sementara tork pada 420Nm.

Golf R 333 mampu memecut 0-100km/j dalam tempoh 4.6 saat sementara had kelajuan maksimum dihadkan pada 270km/j.

Dari segi gaya, Golf R 333 tampil dengan warna Lime Yellow Metallic dan dipadankan kemasan warna hitam sebagai tanda edisi terhad.

Untuk menyerlahkan lagi sisi eksklusif, ia juga dilengkapi plak bernombor individu pada bahagian papan pemuka penumpang sementara kelengkapan standard pula terdiri daripada lampu LED matrik, kawalan pelayaran adaptif (dengan fungsi Stop & Go) serta sistem bunyi Harman Kardon 480 watt.

Model ini menggunakan rim Estoril 19-inci berwarna hitam dan dibalut tayar separa licin. Perincian lain termasuklah ekzos R Performance yang dibangunkan oleh Akrapovič.

Volkswagen akan mula menerima tempahan Golf R 333 Limited Edition mulai 2 Jun dan pengeluaran dijadualkan bermula pada bulan September manakala penghantaran dilakukan setibanya bulan Oktober.

Hanya tersedia dalam 333 unit, Golf R 333 dijual pada harga AS$81,291 (RM375,401), jauh lebih mahal berbanding Golf R 20 Years Edition, AS$49,785 (RM229,907).

GALERI:

Google ads
Back to top button