VOLVO C40 RECHARGE. EV PERTAMA VOLVO, VERSI COUPE XC40, 420KM SEKALI CAJ, JUAL SECARA DALAM TALIAN SAHAJA
Malam semalam, Volvo Cars memperkenalkan model elektrik pertama menerusi siaran secara langsung di laman web rasminya.
Dikenali sebagai Volvo C40 Recharge, ia merupakan verse coupe model crossover popular XC40. Rekaan coupe itu dapat dilihat dengan jelas pada bahagian belakang yang lebih landai.
Penampilannya diserlahkan lagi dengan garisan lampu LED terputus-putus hingga ke bahagian spoiler belakang.
Wajah C40 Recharge tidak jauh berbeza dengan XC40, cuma gril radiator ditutup sepenuhnya dan diapit oleh sepasang lampu LED Thor, selain kemasan hitam pada bahagian bawah dan teknologi piksel termaju.
C40 Recharge menjadi bukti komitmen Volvo Cars untuk menawarkan 50 peratus gabungan produk hibrid dan elektrik menjelang tahun 2025. Manakala bermula tahun 2030, semua kenderaan Volvo dijana oleh rangkaian kuasa elektrik.
Jadi, kita boleh mengharap Volvo bakal melancarkan beberapa model elektrik dalam beberapa tahun akan datang.
C40 Recharge digerakkan oleh motor elektrik berkembar yang dipasang pada setiap gandar. Dikuasakan oleh bateri 78kWh, ia mampu bergerak sejauh 420km dengan sekali caj. Bateri itu juga boleh dicaj ke 80 peratus dalam masa 40 minit menggunakan pengecas pantas.
Masuk ke ruang kabin, tentera itu menawarkan posisi tempat duduk yang tinggi. Volvo akan memberi pilihan warna dan kemasan yang unik kepada pelanggan. Ia juga menjadi model pertama Volvo yang tidak menggunakan material kulit.
Lebih menarik lagi, coupe itu dilengkapi sistem infohibur yang terbaik di pasaran.
Dibangunkan bersama Google yang berasaskan kepada sistem operasi Android, ia menawarkan pelbagai aplikasi Google dan perkhidmataan binaan dalam. Antaranya ialah Google Maps, Google Assistant dan Google Play Store.
Data tanpa had pula menjanjikan ketersambungan terbaik. C40 Recharge akan menerima kemas kini secara over the air. Ini bermakna kenderaan tersebut akan ditambah baik dari semasa ke semasa selepas keluar dari kilang.
Pelanggan hanya boleh membeli C40 secara dalam talian. Langkah itu diambil bagi memudahkan pembeli dan fokus kepada varian yang sudah dipilih.
Oh ya, C40 Recharge juga didatangkan dengen pakej Convenient Care yang merangkumi pakej servis, jaminan, bantuan tepi jalan, insurans dan opsyen untuk memasang sistem pengecasan di rumah.
Jentera itu dijadual memulakan produksi pada musim luruh. Ia dipasang bersama model XC40 Recharge di kilang Volvo di Ghent, Belgium.
- BACA: GEELY DAN VOLVO TAK JADI BERGABUNG. TUBUH ENTITI BAHARU UNTUK BANGUNKAN RANGKAIAN KUASA
- BACA: VOLVO XC40 RECHARGE T5 R-DESIGN 2021. PLATFORM CMA, PHEV 262HP, RM242K SEUNIT
- BACA: VOLVO XC100. ANCAMAN SERIUS KEPADA BMW DAN MERCEDES-BENZ
- BACA: VOLVO HAMPIR JADI SYARIKAT MINYAK & GAS. UNTUNG 18 KETURUNAN
GALERI