Motosikal

PRESTASI ALEX MARQUEZ LEBIH BAIK DARIPADA YANG KAMI JANGKA – PUIG

Ketua pasukan Repsol Honda, Alberto Puig mengakui pelumba baharunya, Alex Marquez mempamerkan prestasi lebih baik daripada yang dijangka sewaktu sesi ujian pra-musim di litar Sepang hujung minggu lalu.  

Bekas juara Moto2 itu menyertai abangnya, Marc di pasukan factory Honda untuk musim perlumbaan 2020, sekali gus membentuk pasukan dua adik beradik pertama dalam sejarah bagi kelas premier.  

Pada November lalu, Alex melakukan debut dengan menunggang jentera RC213V spesifikasi tahun 2019 di litar Valencia dan Jerez. Dia kemudian beralih menggunakan jentera spesifikasi 2020 di Sepang.

Dia berjaya mencatat masa rasmi di tempat ke-18, hanya 0.693 saat berbanding gabungan masa terbaiknya sebelum ini.  

Mengulas tentang kemajuan yang dilakukan oleh Alex, Puig memberitahu pelumba muda itu melebihi ekspektasinya.

“Jujur cakap, prestasi Alex lebih baik daripada yang kami jangkakan. Kelas ini susah dan ujian pertama di Sepang sememangnya rumit. Pendekatannya ke atas motosikal sangat berbeza berbanding Marc.

“Namun asas dari segi bagaimana dia memahami jentera sangat sama dengan abangnya. Mereka berdua mempunyai persediaan mental, cara bercakap, menganalisa dan bersedia yang sama.”

Alex dilihat positif dengan hasil ujian di Sepang. “Saya memperbaiki kelemahan setiap hari. Semua tahu yang kami ada masa singkat sebelum perlumbaan pertama di Qatar bermula.

“Saya juga perlu banyak perkara, terutama tentang tayar. Namun, secara keseluruhannya, semua sangat positif,” kata Alex, optimis.

Google ads
Back to top button