Buletin

VOLVO S90 RECHARGE T8 FACELIFT 2021 DILANCARKAN. RANGKAIAN KUASA DRIVE-E, BERMULA RM339K

Volvo Car Malaysia hari ini memperkenalkan model Volvo S90 Recharge T8 yang dikemaskini dengan kemasan luaran dan dalaman baharu. 

Volvo S90 facelift dibina di atas platform Scalable Product Architecture (SPA). Ia dikuasakan oleh Drive-E powertrain yang terdiri daripada enjin berkembar T8 dan bateri boleh dicas semula jenis lithium-ion yang berupaya menjana 407hp dan tork 640Nm.

Sedan premium 4 pintu, 5 tempat duduk tersebut mirip dengan model XC90 apabila menggabungkan reka bentuk minimalis yang membentuk imej premium. Ciri berkenaan merangkumi rekaan lampu utama LED gaya “Tukul Thor”, gril krom menegak bersama Volvo Iron Mark dan kemasan Volvo yang menonjol pada bahagian belakang. 

Lampu belakang Volvo S90 Recharge T8 telah dikemaskini dengan rekaan sperti model Volvo S60 T8 R-Design yang dilancarkan baru-baru ini. 

Motif Scandinavian turut diserlahkan ke ruang kabin. Rekaan bilah udara menegak di setiap sisi antara muka Sensus, tempat duduk hadapan baharu dan bumbung suria meningkatkan lagi ciri estetika yang elegan.

Panel Sensus memastikan pemandu kekal berhubung dengan teknologi dan kemudahan terkini. Ia menawarkan dua port USB di bahagian  hadapan untuk ketersambungan Apple Carplay dan Android Auto. 

Manakala skrin sentuh berbentuk potrait bersaiz 9 inci pula membolehkan akses mudah serta pantas kepada semua menu ciri keselamatan dan aplikasi infohibur.

Kualiti bunyi dipertingkatkan menerusi sistem audio Bowers & Wilkins dengan unit 19 pembesar suara berkuasa 1,400W. Pembesar suara signatur Tweeter-on-Top yang terletak kemas di atas papan pemuka diintegrasikan dengan kontur reka bentuk S90 Recharge T8.

Sistem audio berkenaan dilengkapi teknologi pembesar suara Nautilus. Beberapa unit pembesar suara yang dikemaskini seperti kubah berkembar tweeter aluminium dan kon pembesar suara berbentuk komposit Continuum pula menghasilkan bunyi yang halus dan semula jadi.

Sebagai tambahan, S90 Recharge T8 tampil dengan pelbagai ciri keselamatan standard Volvo. Bermula dengan casis yang diperbuat daripada besi boron yang mengukuhkan badan kereta. 

Ciri ini digabungkan dengan sistem Intellisafe Volvo yang terdiri daripada sistem Blind Spot Information Systems (BLIS), City Safety, Cross Traffic Alert, Front and Rear Warning and Mitigation Support, Lane Keeping Aid, Pilot Assist, had kelajuan 180kmh dan banyak lagi.

“Plug-in hibrid adalah ciri masa depan tanpa berkompromi dengan pengalaman hari ini. Model S90 Recharge T8 ialah kenderaan mewah yang memberikan kelainan dan pilihan tepat kepada mereka yang mencari keunikan dan ingin lebih menyerlah berbanding orang lain,” kata Pengarah Pemasaran dan Perhubungan Awam Volvo Car Malaysia, Akhtar Sulaiman.

Volvo S90 Recharge T8 dijual pada harga RM358,888. Namun, sedan itu kini ditawarkan pada harga RM339,315 selepas pengecualian cukai jualan (di atas jalanraya tanpa insurans) dan boleh didapati di semua wakil sah pengedar Volvo seluruh negara bermula hari ini. 

Varian T5 pula berharga pada RM328,888 (sebelum pengecualian cukai jualan) dan boleh didapati mulai Jun 2021.

Didatangkan dalam lima pilihan warna iaitu perak, putih mutiara, hitam dan dua tona kelabu, sedan tersebut boleh ditempah secara dalam talian menerusi laman web Volvo Car Malaysia.

GALERI

Google ads
Back to top button